Selepas pulang dari sekolah, pelajar pasti akan mendapatkan telefon pintar atau membuka konsol permainan video untuk melepaskan tekanan atau stress. Situasi ini boleh dijadikan tema atau tajuk berkaitan dengan soalan karangan Bahasa Melayu. Sebagai rujukan buat pelajar, berikut dikongsikan contoh karangan kepentingan sains dan teknologi dalam kehidupan manusia.
Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan STEM dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) merangkumi pengetahuan, kemahiran dan nilai yang sedia ada dalam semua mata pelajaran STEM. Langkah ini adalah tepat untuk memastikan generasi muda di dalam negara mendapat pendedahan awal dan pendidikan yang menyediakan diri mereka untuk bersaing dengan masyarakat di negara asing.
Contoh Karangan Kepentingan Sains Dan Teknologi Kepada Manusia
Di bawah dikongsikan isi-isi penting dan contoh karangan yang merangkumi pendahulan, huraian dan penutup berkaitan pentingnya sains, teknologi serta inovasi dalam kehidupan manusia.
Isi-isi penting
- Meningkatkan produktiviti dan kemampuan manusia
- Memperluaskan skop pendidikan dan penyelidikan
- Menambah baik kesihatan dan keselamatan manusia
- Membantu pemuliharaan serta pemeliharaan alam semula jadi
- Membuka peluang eksplorasi ke angkasa lepas
- Membentuk masyarakat global yang lebih aman dan harmoni
Pendahuluan
Dalam meniti arus modenisasi, pelbagai cabaran yang dihadapi oleh masyarakat serta negara untuk kekal relevan dan terus maju. Hampir setiap hari, pelbagai teknologi tercipta dan penemuan saintifik berlaku. Fenomena ini bukan sahaja memberikan kesan kepada manusia tetapi telah mengubah norma masyarakat untuk hidup berteraskan kemodenan. Daripada penggunaan telefon bimbit kepada produk makanan yang kita santap, kebanyakannya telah menjalani proses evolusi hasil perkembangan sains dan teknologi.
Realitinya, kehidupan yang kita nikmati tidak akan terjadi jika tiada penyelidikan berdasarkan sains dan penerapan teknologi yang memudahkan pelbagai tugasan. Ia juga hasil daripada pengumpulan maklumat atau data yang dikutip oleh para saintifik dan jurutera teknologi pada suatu jangka masa. Hari ini, data merupakan satu komoditi yang dianggap lebih bernilai daripada minyak dan gas asli kerana sumbangannya terhadap asas atau norma kehidupan. Oleh itu, mari kita kupas pentingnya sains dan teknologi dalam kehidupan manusia.
Isi 1
Ianya penting untuk meningkatkan produktiviti dan kemampuan manusia. Jika ditelusuri, manusia pada zaman purba tidak boleh bergerak jauh atau membajak tanpa bantuan haiwan. Ekoran perkembangan kemahiran dan pengetahuan, perlakuan tersebut telah ditambah baik hasil daripada perkembangan teknologi. Revolusi industri pada tahun 1800 telah memangkin penggunaan teknologi dalam kehidupan manusia. Kereta yang menggunakan enjin dan dikuasakan oleh petrol telah mengubah cara manusia bergerak dari ssatu tempat ke satu tempat yang lain.
Hasil penyelidikan sains dan teknologi, kita dapat saksikan penciptaan kereta yang tidak menggunakan petrol dan juga pemanduan automasi di mana kita tidak perlu lagi memandu seperti sedia kala. bayangkan apa lagi evolusi dan pencapaian yang mampu dikecapi dengan perkembangan berasaskan sains dan teknologi. Persis peribahasa Melayu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jelas bahawa ia dapat meningkatkan produktiviti dan kemahiran diri.
Isi 2
Pada masa yang sama, manusia menerima manfaat hasil daripada sains dan teknoogi kerana ia memperluaskan skop pendidikan serta penyelidikan. Pendidikan adalah elemen utama dalam membentuk masyarakat minda kelas pertama. Asimilasi mata pelajaran sains dan teknologi di peringkat sekolah rendah adalah mustahak supaya kanak-kanak kita tidak menjadi seperi katak di bawah tempurung. Di peringkat pengajian tinggi pula, sains dan teknologi membuka ruang kepada penyelidikan yang boleh dijalankan untuk manfaat semua.
Tamsilnya, penciptaan mikroskop memudahkan kita untuk melihat zarah-zarah yang sukar untuk dilihat dengan mata kasar. Hasilnya, pelbagai penyelidikan kimia dan biologi boleh diuji dan diperhati. Perkara ini membantu pendidikan yang lebih efektif diman pelajar dapat melihat dan mempraktikkan apa yang dipelajari secara teori di makmal institusi masing-masing. Laut yang ditimba tidak akan kering, maka kita perlu meneruskan perkembangan pendidikan yang didukung oleh sains dan teknologi.
Isi 3
Seiring dengan untaian di atas, sains dan teknologi mustahak dalam menambah baik kesihatan dan keselamatan manusia. Sehingga hari ini, pelbagai peralatan yang canggih telah dicipta untuk tujuan mengesan penyakit dan membantu proses penyembuhan pesakit. Manusia yang menghidapi penyakit dapat menjalani rawatan dan mengurangkan risiko kematian berbanding pada zaman dahulu. Bak kata pepatah, lebih baik mencegah daripada merawat.
Selain itu, kesihatan diri juga boleh diperhati secara sendiri tanpa perlu hadir ke klinik atau hospital hanya dengan menggunakan jam pintar ditangan. Pemantauan denyutan jantung dan kualiti tidur boleh dilakukan menggunakan jam tersebut. Kelebihan ini secara tidak langsung membantu manusia untuk lebih peka terhadap kesihatan diri dan orang sekeliling. Tegasnya, sains dan teknologi penting kepada manusia khususnya dalam aspek kesihatan dan juga keselamatan diri.
Isi 4
Kepentingan lain sains dan teknologi adalah usaha pemuliharaan serta pemeliharaan alam semula jadi dapat dilaksanakan. Umum mengetahui bumi kita sudah tenat dan menjangkau umur 4.5 billion tahun. Pelbagai bencana alam dan perubahan iklim berlaku sebagai tanda dan bukti ekosistemnya terganggu akibat daripada aktiviti-aktiviti oleh manusia. Oleh sebab yang demikian, kita perlu menggunakannya untuk menghalang kemusnahan alam semula jadi dan menghasilkan teknologi yang memelihara kewujudannya.
Sebagai contoh, ciptaan tenaga solar yang menangkap cahaya daripada matahari dan hidroelektrik yang terhasil daripada arus deras pererakan air sungai. Penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui ini bakal menggantikan cara konvensional tenaga elektrik dijana melalui pembakaran arang batu dan juga petroleum. Natijahnya, sains dan teknologi sangat membantu kita untuk mengekalkan khazanah alam semula jadi yang kita miliki agar tidak menjadi seperti sudah terhantuk, baru terngadah.
Penutup
Kesimpulan kepada kupasan di atas, banyak kepentingan yang boleh didapati dan digunakan kepada kehidupan manusia pada hari ini. KIta seharusnya bersyukur dan menggunakan setiap kemudahan hasil daripada sains dan teknologi dengan penuh manfaat. Mutakhir ini, negara jiran seperti Indonesia dan Singapura telah berjaya menghasilkan syarikat “unicorn” yang berasaskan teknologi serta menarik pelabur asing yang terkemuka seperti Tesla dan Google untuk melabur di dalam negara dan pasaran mereka. Perkara ini menunjukkan kita sudah ketinggalan beberapa langkah dibelakang. Justeru, setiap pihak perlu berganding bahu mencari mekanisme terbaik untuk negara supaya dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. Semoga inisiatif yang dirancang dapat direlisasikan membawa negara ke arah yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Related : menggantikan tenaga, penggunaan sains, kemajuan dalam bidang, memudahkan urusan, hidup manusia, memudahkan komunikasi, kemajuan sains dan teknologi, tahap kesihatan, suri rumah, kerja kerja, kemajuan dalam bidang sains, taraf hidup, pelbagai ciptaan, kehidupan harian, bidang sains dan teknologi, pelbagai jenis, kehidupan seharian, alat alat,
Senarai Tajuk Kecil Artikel