Sajak Sejadah Rindu : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran. Nota meliputi Bentuk, Gaya Bahasa, Nilai & soalan latihan.

Sajak Sejadah Rindu : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran

Sajak Sejadah Rindu Maksud Tema Persoalan Nilai

Perhatian kepada pelajar Tingkatan 5, adakah anda sudah melakukan persediaan untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia? Pelbagai kaedah dan teknik yang boleh dilakuakn untuk mengulang kaji seperti menyediakan nota-nota ringkas dan melakukan latihan tambahan. Oleh itu, berikut dikongsikan nota-nota Sajak Sejadah Rindu merangkumi Maksud, Tema, Persoalan, Nilai, Bentuk, Gaya Bahasa dan Pengajaran untuk rujukan semua.

Sajak ini merupakan karya penulisan Mohd Haikal Bin Aminuddin yang berasal dari negeri Perlis. Guru yang merupakan hasil graduan Ijazah Sarjana Muda di IPG kampus Perlis ini telah menghasilkan pelbagai karya seperti puisi Embun Bahasa, Khusyuk dan Keluhan Sang Hijau. Beliau juga merupakan mantan peserta Minggu Penulisan Remaja (MPR) pada tahun 2011 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nota Sajak Sejadah Rindu : Maksud, Tema, Persoalan, Bentuk, Gaya Bahasa, Nilai & Pengajaran

Ikuti perkongsian berkaitan nota-nota Sajak meliputi Maksud, Tema, Persoalan, Nilai dan Pengajaran di bawah. Pelajar juga boleh merujuk nota bentuk sajak, gaya bahasa dan soalan-soalan latihan yang berkaitan dengan sajak yang dikaji.

Maksud Sajak

Rangkap 1

Terkedu aku
di sejadah rindu
mengungkap kalimah syahdu
merekah keinsafan di hati yang beku
mengenang dosaku yang terdahulu

  • Penyajak termenung ketika di atas sejadah lalu memuji kebesaran Tuhan. Bermuhasabah diri di atas kesalahan atau kesilapan masa lalu dan menginsafinya.

Rangkap 2

Berbekal pancaindera anugerah Tuhan
Kupohon kembali nafas kehidupan
dalam keterhadan dan keterbatasan insan
moga terbuka ruang keampunan
sebelum saat aku dinisankan
di masa yang Kau tetapkan

  • Penyajak kemudian memohon keampunan dengan sungguh-sungguh daripada Tuhan sebelum dia meninggal dunia. Penyajak juga memohon agar ditunjukkan jalan yang benar sepanjang kehidupannya.

Rangkap 3

Air mata menjadi saksi
keikhlasan menjadi bukti
akhirnya
aku sujud menghadap Ilahi
di keheningan yang sepi
lafaz taubat mengiringi
nafas sebak kian mengikuti

  • Penyajak menangis memohon keampunan dengan ikhlas untuk bertaubat sambil menyerahkan dirinya kepada Tuhan di dalam suasan yang sunyi.

Rangkap 4

Hati ini luluh
jiwa yang kaku tersentuh
ayat-ayat cinta disusun kukuh
di sejadah rindu yang lusuh
kemaafan yang kupohon sungguh
dari Pencipta dalam gemuruh

  • Dengan rasa sedih, penyajak memohon keampunan daripada Tuhan menggunakan ayat-ayat cinta beserta rasa gemuruh di atas sejadah yang lusuh

Rangkap 5

Ungkapan doa pada Yang Esa
izinkan aku menjadi manusia yang taat sentiasa
pada perintah Maha Kuasa
agar aku tidak lupa
dunia ini hanya bersifat sementara

  • Penyajak berharap dirinya menjadi seorang hamba yang taat kepada Tuhan dan segala perintahNya kerana kehidupan di dunia ini hanyalah sementara

Tema

Sajak Sejadah Rindu ini bertemakan ketaatan kepada agama atau kepercayaan masing-masing. Penyajak seakan-akan berdoa dan meminta keampunan daripada Tuhan atas kesalahannya di masa lalu serta memohon supaya ditunjukkan jalan yang benar.

Persoalan

1) Mengakui kesilapan dan insafi kesalahan tersebut

  • merekah keinsafan di hati yang beku, mengenang dosaku yang terdahulu

2) Mendekatkan diri kepada Tuhan sebagai pengisian rohani diri

  • berbekalkan pancaindera anugerah Tuhan, kupohon kembali nafas kehidupan

3) Dunia hanya tempat sementara

  • agar aku tidak lupa, dunia hanya bersifat sementara

4) Memohon keampunan daripada Tuhan sebelum meninggal dunia

  • Moga terbuka ruang keampunan, daripada Tuhan sebelum meninggal dunia

Bentuk Sajak

  • Sajak ini terdiri daripada lima rangkap
  • Bilangan baris pada setiap rangkap tidak sama iaitu:
    • rangkap pertama : enam baris
    • rangkap kedua : enam baris
    • rangkap ketiga : tujuh baris
    • rangkap keempat : enam baris
    • rangkap kelima : enam baris
  • Terdapat satu hingga enam patah kata dalam setiap baris
  • Manakala bilangan suku kata antara tiga hingga empat belas suku kata
  • Rima akhirnya ialah:
    • rangkap pertama : aaaaaa
    • rangkap kedua : aaaaaa
    • rangkap ketiga : aabaaaa
    • rangkap keempat : aaaaaa
    • rangkap kelima : aaaaaa
  • Sajak ini bernada melankolik

Gaya Bahasa

  • Asonansi : keikhlasan menjadi bukti
  • Aliterasi : kupohon kembali nafas kehidupan
  • Bahasa Arab : Ilahi, taubat, kalimah
  • Metafora : sejadah rindu, nafas kehidupan
  • Personifikasi : air mata menjadi saksi
  • Inversi : Terkedu aku, moga terbuka ruang keampunan
  • Repitisi : Buktinya, di sejadah rindu, di masa yang Kau tetapkan
  • Responsi : pengulangan di tengah baris atau ayat, “Buktinya, izinkan aku menjadi manusia, agar aku tidak lupa”

Nilai

  • Keinsafan
  • Kejujuran
  • Taat kepada Tuhan
  • Bersyukur
  • Rasional

Pengajaran

  1. Kita seharusnya menginsafi kesalahan diri yang pernah dilakukan dan meminta ampun daripada Tuhan
  2. Kita hendaklah bersyukur atas segala kemudahan dan kejayaan yang kita kecapi di dunia yang sementara ini.
  3. Kita perlu mempelajari dan mendalami didikan agama seterusnya mengamalkan ajaran tersebut dalam kehidupan
  4. Kita mestilah bersikap rasional dalam kehidupan agar tindakan yang dilaksanakan tepat dan betul

Soalan Latihan

1) Berdasarkan sajak ini, apakah maksud rangkai kata “kupohon kembali nafas kehidupan”?

Maksud rangkai kata kupohon kembali nafas kehidupan adalah penyajak memohon agar ditunjukkan jalan yang benar atau hidayah kepada kesesatan yang dihadapi

2) Sebagai seorang pelajar, apakah usaha yang boleh anda laksanakan untuk menegur rakan-rakan supaya meninsafi kesalahan yang mereka lakukan?

Sebagai pelajar, saya boleh menegur rakan-rakan yang membuat kesalahan supaya insaf dengan memberitahu mereka kesan buruk daripada kesilapan mereka. Selain itu, saya akan menasihati bahawa Tuhan itu maha pengampun dan jalan untuk bertaubat itu dibuka luas untuk semua umatnya.

3) Pada pendapat anda, mengapakah manusia sering lupa dan mengabaikan peerintah Tuhan?

Saya berpendapat bahawa manusia sering lupa dan mengabaikan perintah Tuhan kerana kesalahan yang dilakukan telah dinormalisasikan oleh orang sekeliling atau masyarakat. Sekiranya didikan agama dan jati diri rendah, amalan akan menjadi tidak tetap. Selain itu, terdapat juga yang terleka dengan kemewahan dunia.

4) Sila nyatakan dua gaya bahasa sajak yang anda kaji?

Berdasarkan sajak ini, terdapat banyak gaya bahasa yang oleh dikaji antaranya adalah metafora, di sejadah rindu. Selain itu, terdapat juga gaya bahasa bahasa asing, bahasa arab seperti kalimah, Ilahi dan taubat.

5) Sebagai ibu atau bapa, apakah peranan yang wajar dilakukan untuk melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia

Untuk melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia, ibu bapa seharusnya menjadi contoh teladan terbaik untuk anak-anak mereka. Selain itu, ibu atau bapa juga bertanggungjawab memebrikan kasih sayang yang secukupnya dan membawa anak-anak menghadiri majlis ilmu sebagai pengisian kepada rohani mereka.

6) Pada pendapat anda, mengapakah pegangan agama amat penting dalam diri seseorang individu?

Saya berpendapat bahawa pegangan agama amat penting dalam diri seseorang supaya mempunyai pegangan hidup dan mempunyai panduan yang jelas kepada kehidupan. Selain itu, pegangan agama akan mengisi keperluan rohani kita sebagai manusia yang lemah dan mampu menjadikan kita seorang individu yang lebih terbuka dan intelek.

Semoga perkongsian nota-nota Sajak Sejadah Rindu : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai ini membantu semua dalam menjawab soalan exam.

Related : metafora perbandingan contohnya air mata menjadi saksi keikhlasan, personafikasi unsur perorangan contohnya air mata menjadi saksi, keikhlasan dalam keterhadan dan keterbatasan insan, keikhlasan dalam memohon keampunan,