Perhatian kepada pelajar Tingkatan 4 yang mencari nota komponen sastera (KOMSAS) bagi matapelajaran Bahasa Melayu. Berikut dikongsikan nota-nota ringkas berkenaan Sajak Sibermerdeka : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai Dan Pengajaran untuk rujukan semua. Anda juga boleh merujuk soalan yang diberikan sebagai latihan untuk menjawab pentaksiran atau ujian yang diberikan oleh guru-guru.
Sajak Sibermerdeka ini merupakan karya Abdul Ghafar Ibrahim yang merupakan seorang penggiat seni berasal dari Beranang, Selangor. Beliau yang memulakan karier sebagai seorang guru dan menjadi sidang pengarang majalah telah menghasilkan pelbagai karya penulisan malah lukisan juga. Karya ini telah dipilih sebagai salah satu karya dalam komponen sastera untuk menguji kemampuan pelajar memahami maksud tersurat dan tersirat yang dihasilkan oleh penulis terkemuka ini.
Nota Sajak Sibermerdeka : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai, Gaya Bahasa Dan Pengajaran
Ikuti perkongsian di bawah berkaitan Sajak Sibermerdeka : Maksud, Tema, Persoalan, Gaya Bahasa, Keindahan Bunyi, Nilai Dan Pengajaran. Nota-nota ringkas mengenai bentuk sajak serta gaya bahasa turut disertakan.
Maksud
Rangkap 1
Dalam kebun diriku
aku tanam saujana rancangan
untuk memerdekkan warga susahku
hidup menentang senja dan malam
- Penyajak menyatakan dalam diri atau fikirannya bahawa dia telah membuat pelbagai perancangan untuk menyelesaikan masalah atau kesusahan yang dihadapinya
Rangkap 2
Dalam parlimen diriku
aku bahas isu onak dan enak
untukku merdekakan warga fikirku
mengelak hidup dikotak-katikkan
- Penyajak berfikir bahawa dia telah cuba untuk mengatasi masalah yang dihadapi supaya tidak mudah dipermainkan oleh orang lain
Rangkap 3
Dalam laut diriku
ombak gelora menampar pantai aman
untuk menguji amal dan iman
- Penyajak menghadapi kehidupan yang serba mencabar dan menguji kesabaran serta keimanannya
Rangkap 4
Dalam gergasi diriku
terpedaya jua oleh permainan si kancil
namun sempat sedar dan beringat lagi
- Walaupun penyajak merasakan dirinya hebat, dia sering terpedaya dengan nafsu. Namun, penyajak cepat tersedar seterusnya mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak terpedaya lagi.
Rangkap 5
Dalam pentas diriku
aku berlatih menangkis angin
aku berlatih memmunggah awan
menghayati skrip demi skrip
yang tak diduga klimaksnya
- Usaha untuk perbaiki diri dengan bertekad untuk berubah ke arah kebaikan diamalkan oleh penyajak. Walaupun dia tidak tahu apa yang bakal ditempuh pada hari-hari yang mendatang
Rangkap 6
Dalam dewan diriku
aku tak cemas lagi
oleh kata yang mengekang
aku tak lemas lagi
oleh kata yang menyerang
- Penyajak berkata semakin berusia semakin matang. Dia tidak mudah panik dan tidak mudah dipengaruhi oleh kata-kata orang terhadap dirinya
Rangkap 7
Apabila sibermerdeka sampai
ke rumah cabaranku
aku panggil diriku bermesyuarah
menyokong, berkecuali atau menentang
aku ambil keputusan
waktu itu aku kenal batas diri
untuk tidak mengulangi kekalahan
- Dalam zaman globalisasi hari ini, penyajak akan selalu bermuhasabah diri dalam mencari erti kehidupan supaya tidak mudah jatuh dalam perjuangannya
Rangkap 8
Kini, kapal diriku telah berlabuh di pangkalan usia
aku turun darinya menghadapinya hidup nyata
peristiwa datang peristiwa pergi
bagai siang memanggil malam
dan sibermerdeka terus berkaca
terus mengalirkan arus ingatan
elakkan dirimu menjadi sia-sia
hamparkan dirimu di persasa Tuhan
- Penyajak menyatakan bahawa apabila tiba waktunya, kita harus bersedia menghadapi kenyataan hidup ini bersifat sementara. Setiap peristiwa dalam hidup berlalu dengan pantas. Oleh itu, penyajak menasihati pembaca agar tidak mensia-siakan hidup sebaliknya pembaca wajar mendekati Tuhan
Tema
Sajak ini bertemakan ketabahan seorang insan dalam mendepani dugaan dan rintangan kehidupan
Persoalan
1) Merancang kehidupan adalah penting
Penyajak telah merancang pelbagai perkara untuk dilakukan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapinya
2) Berusaha untuk menyelesaikan masalah
Penyajak juga sering memikirkan cara untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh dirinya supaya tidak diambil kesempatan oleh orang lain
3) Pastikan hidup untuk memberi manfaat
Penyajak menasihati semua untuk hidup dengan menyelesaikan masalah dan tidak mensia-siakan kehidupan yang sementara
4) Sentiasa bermuhasabah diri
Penyajak sentiasa bermuhasabah diri untuk berubah ke arah kebaikan
Bentuk Sajak
- Terdiri daripada lapan rangkap
- Mempunyai 3 hingga 10 baris dalam satu rangkap
- Mempunyai 3 hingga 6 perkataan dalam satu baris
- Terdiri daripada 7 hingga 15 suku kata dalam satu baris
- Rima akhir mempunyai bentuk bebas/ tidak terikat
- Rangkap pertama : abac
- Rangkap kedua : abac
- Rangkap ketiga : abb
- Rangkap keempat : abc
- Rangkap kelima : abcde
- Rangkap keenam : abcbc
- Rangkap ketujuh : abcdefe
- Rangkap kelapan : abcdefghbh
Gaya Bahasa
- Anafora : aku berlatih menangkis angin, aku berlatih memunggah awan
- Hiperbola : hidup menentang senja dan malam
- Metafora : Dalam kebun diriku, saujana rancangan, parlimen diriku, pangkalan usia
- Personafikasi : ombak gelora menampar pantai aman, oleh kata yang mengekang
- Repitisi : Menghayati skrip demi skrip, peristiwa datang peristiwa pergi
- Responsi : aku berlatih menangkis angin, aku berlatih memunggah awan
- Simile : bagai siang memanggil malam
- Kata ganda : Elakkan dirimu menjadi sia-sia
Nilai
- Bijaksana : Penyajak memikirkan pelbagai rancangan untuk dilakukan apabila menghadapi masalah
- Rasional : Penyajak berfikiran rasional apabila menyatakan kehidupan kita di dunia yang sementara ini tidak perlu disia-siakan dan banyakkan masa mendekati Tuhan
- Insaf : Penyajak menyedari kesilapannya dan segera bertaubat atau mengambil langkah supaya tidak mengulangi kesilapan tersebut
- Tidak putus asa : Walaupun menghadapi pelbagai dugaan dalam kehidupan, penyajak menyuruh untuk terus berfikir cara untuk bangkit semula.
Pengajaran
- Kita hendaklah sentiasa bermuhasabah diri supaya tidak bersikap mementingkan diri dan bermanfaat untuk orang lain
- Kita perlu bersikap rasional dalam membuat sesuatu keputusan agar ia tidak merugikan diri kita
- Kita seharusnya mempunyai jati diri dan pegangan yang kuat supaya tidak mudah terpedaya dengan sesiapa yang ingin mengambil kesempatan
- Kita mestilah bersatu padu antara satu sama lain untuk menjamin keharmonian negara yang kita cintai ini
Soalan Latihan
1) Pada pendapat anda, apakah kelebihan apabila kita dapat mengatasi rintangan hidup?
Saya berpendapat jika kita dapat mengatasi rintangan hidup, kelebihan yang diperoleh adalah kita dapat mematangkan diri kita. Kita akan belajar untuk tidak mengulangi kesilapa yang sama dan berani dalam menghadapi cabaran lain.
2) Bagaimana cara untuk kita menguatkan ketahanan diri secara mental dan fizikal dalam menghadapi dugaan hidup
Antara kaedah untuk menguatkan ketahanan diri dalam menghadapi dugaan hidup adalah dengan sentiasa mempelajari ilmu pengetahuan baharu supaya menjadi bijak. Selain itu, kita boleh berkongsi masalah dengan rakan atau orang yang lebih berpengalaman untuk mencari jalan penyelesaian terbaik kepada masalah kita.
3) Sebagai seorang ahli masyarakat, apakah yang perlu dilakukan sekiranya melihat perkara negatif berlaku dalam kalangan masyarakat sekeliling?
Sebagai seorang ahli masyarakat yang bertanggungjawab, saya akan cuba menghentikan mereka daripada melakukan perkara-perkara yang negatif dan seterusnya mengajak mereka untuk bermuhasabah diri. Segala kebaikan ditunjukkan dengan tauladan maka kita perlulah sentiasa menunjukkan tauladan yang baik
4) Pada pendapat anda, apakah manfaat teknologi internet kepada para pelajar masa kini?
Saya berpendapat bahawa teknologi internet memberikan faedah yang banyak kepada pelajar seperti memperoleh maklumat dengan mudah dan cepat. Selain itu, maklumat yang diperoleh adalah luas dan pelbagai kerana sumber didapati daripada seluruh dunia.
5) Nyatakan faedah yang akan kita peroleh apabila membuat perancangan hidup?
Pelbagai faedah yang akan diperoleh jika kita membuat perancangan hidup, antaranya adalah kita mempunyai semangat untuk mencapai sesuatu visi. Selain itu, ia akan membantu kita untuk melakukan rancangan lain jika rancangan yang pertama tidak menjadi. Akhirnya, kehidupan kita akan menjadi lebih tersusun
6) Nyatakan pendapat anda tentang kebaikan bersikap rasional?
Pada pendapat saya, jika kita bersikap rasional, kita akan melakukan keputusan yang baik untuk diri dan orang sekeliling kita. Selain itu, banyak masalah dapat diselesaikan dan tidak mensia-siakan masa atau tenaga ke atas perkara yang tidak rasional.
Diharapkan perkongsian berkenaan Sajak Sibermerdeka : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai Dan Pengajaran membantu pelajar dalam ulang kaji dan persediaan menghadapi pentaksiran.
Related : hamparkan dirimu dalam mencari erti kehidupan, contoh penyajak dia mencuba memikirkan cara untuk mengatasi masalahnya agar dirinya tidak mudah, untuk memerdekakan warga susahku, dipermain mainkan, menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang,
Senarai Tajuk Kecil Artikel