Tahukah anda bahawa industri pelancongan negara merupakan antara industri utama dalam ekonomi Malaysia? Jika tidak, berikut akan dikongsikan contoh karangan Langkah-Langkah Memajukan Sektor Pelancongan Di Malaysia untuk rujukan semua. Anda juga boleh merujuk contoh isi-isi penting di bawah bagi menjawab karangan yang berkaitan dengan sektor pelancongan.
Setiap di antara kita pasti gemar untuk melancong ke pusat pelancongan seperti pantai, pulau dan sebagainya. Selain daripada menikmati keindahan suasana dan pemandangan, kebanyakan di antara kita melancong untuk beristirehat setelah penat menghabiskan masa membanting tulang di tempat kerja. Pengalaman melancong akan lebih seronok jika pusat pelancongan yang ditujui memberikan layanan serta fasiliti bertaraf antarabangsa seperti melancong di negara asing. Maka, setiap di antara kita perlu memainkan peranana untuk memajukan sektor pelancongan di Malaysia.
Karangan Langkah-Langkah Memajukan Sektor Pelancongan Di Malaysia
Perkongsian di bawah merangkumi isi-isi penting dan contoh karangan berkaitan cara meningkatkan lagi mutu sektor pelancongan di Malaysia untuk panduan semua.
Isi-isi penting
- Berkempen melalui media massa dan elektronik
- Menganjurkan acara atau kejohanan sukan peringkat antarabangsa
- Memastikan prasarana dan infrastruktur awam di tahap terbaik
- Membina jaringan keselamatan yang diyakini oleh pelancong
- Memperkenalkan produk pelancongan baharu seperti pelancongan kesihatan
- Melakukan libat urus dengan pengusaha pelancongan untuk penambah baikan
Pendahuluan
Umum mengetahui sektor pelancongan adalah salah satu industri utama dalam ekonomi negara. Perkara ini boleh dibuktikan dengan jumlah pelancong asing yang masuk ke dalam negara dari tahun 2018 hingga 2019 mencecah sehingga lebih 10 juta pelancong. Jumlah yang meningkat dari tahun ke tahun ini sangat memberansangkan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi masyarakat di Malaysia. Seperti ingin masuk ke medan peperangan, kita memerlukan strategi terbaik untuk mengalahkan musuh dan mengecapi kemenangan. Begitu juga dalam keadaan untuk memastikan sektor-sektor ekonomi negara supaya terus berkembang di mana mekanisme dan langkah terbaik perlu direncana dengan teliti. Hasilnya nanti akan memberikan manfaat dari segi ekonomi dan sosiologi negara secara amnya dan rakyat secara khususnya. Oleh sebab yang demikian, penting untuk kita bincangkan, apakah langkah-langkah untuk memajukan sektor pelancongan di Malaysia.
Isi 1
Dalam meniti alaf baharu ini, suatu informasi boleh disebarkan secara meluas hanya dengan menggunakan Internet dan diterima oleh sesiapa sahaja di seluruh pelusuk dunia dengan hanya menggunakan hujung jari. Teknologi yang tiada had ini wajar dimanfaat sebaik oleh pihak berkuasa dan agensi pelancongan untuk mempromosi keunikan dan keindahan yang dimiliki oleh negara kita. Bagi menarik minat pelancong asing, kerajaan boleh menghasilkan iklan atau kandungan digital yang mampu memukau masyarakat asing untuk berkunjung ke dalam negara. Kaedah terkini yang dilakukan di kebanyakan negara adalah dengan menaja selebriti untuk melancong ke Malaysia dan menarik minat peminat mereka untuk turut serta. Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan boleh mengumpulkan produksi kreatif dan agensi pemasaran tempatan yang terbaik untuk menghasilkan kempen pelancongan yang luar biasa dan menangkap hati setiap penonton samada secara domestik ataupun antarabangsa. Tegasnya, berkempen melalui media massa dan elektronik merupakan salah satu langkah meningkatkan tahap atau taraf sektor pelancongan.
Isi 2
Pada masa yang sama, sektor pelancongan boleh dikembangkan dengan menganjurkan acara atau kejohanan sukan peringkat antarabangsa di dalam negara. Penganjuran Le Tour De Langkawi adalah salah satu contoh terbaik dalam menganjurkan acara di peringkat antarabangsa dan mempromosikan keindahan kawasan tumpuan pelancong di Malaysia. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air. Langkah ini memerlukan perbelanjaan yang tinggi tetapi hasil penganjurannya akan memberikan pulangan yang berbaloi-baloi. Hal ini demikian kerana, hotel-hotel berdekatan akan mendapat pelanggan bukan sahaja di musim percutian, manakala restoran dan pusat pelancongan juga akan dikunjung dengan lebih kerap. Masyarakat tempatan juga akan mendapat tempias yang positif dengan peluang-peluang pekerjaan yang dibawa oleh penganjuran acara-acara ini. Tuntasnya, mengadakan kejohanan peringkat antarabangsa seperti Sukan Asia dan Komanwel dapat memajukan lagi sektor pelancongan dalam negara.
Isi 3
Usaha lain yang wajar dilaksanakan bagi memastikan sektor pelancongan terus maju adalah dengan menyediakan prasarana dan infrastruktur awam yang lengkap. Prasarana yang dimaksudkan adalah jalinan perhubungan seperti jalan raya yang selamat dan lapangan terbang yang selesa. Malaysia yang kaya dengan keindahan alam semula jadi terkenal dengan produk pelancongan berasaskan flora dan fauna atau dikenali sebagai ekopelancongan. Produk ini terletak jauh di kawasan pedalaman dan memerlukan jalan yang selesa dan mudah untuk pelancong berkunjung. Oleh yang demikian, pihak berkuasa hendaklah menyediakan jalan raya, pengusaha bas dan van serta lapangan terbang yang selesa dan kondusif untukl menerima pelancong domestik mahupun asing. Jika kita mampu memberikan pengalaman yang mudah dan selesa kepada pelancong untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain, pasti mereka akan berasa seronok dan tidak mengganggu suasana percutian mereka. Intihannya, dengan menyediakan prasarana terbaik di dalam negara, sektor pelancongan boleh bertambah maju.
Isi 4
Akhir sekali, langkah untuk memajukan sektor pelancongan adalah melakukan libat urus dengan pengusaha-pengusaha pelancongan untuk mewujudkan penambah baikan. Peranan ini khusus untuk badan yang mengelola dan memantau aktiviti pelancongan dalam negara kerana mereka bertanggungjawab. Menganjurkan forum perbincangan atau sesi “townhall” dapat mengumpulkan pengusaha pelancongan seterusnya mencari solusi kepada setipa masalah yang dihadapi. Tamsilnya, pengusaha feri dan bot yang menggunakan petrol diesel sebagai bahan bakar kenderaan mereka memerlukan subsidi yang lebih banyak. Begitu juga dengan pengusaha taman tema yang perlu membayar cukai lebihan walaupun jumlah pengunjung tidak mencapai sasaran yang ditetapkan. Masalah ini jika dibantu dan diselesaikan dengan solusi terbaik, pastinya sektor pelancongan akan bertambah maju.
Penutup
Kesimpulannya, terdpat banyak langkah yang boleh direncana untuk memajukan sektor pelancongan di Malaysia. Setiap pihak yang terlibat dalam industri pelancongan semestinya inginkan yang terbaik dalam perkembangan sektor mereka. Justeru, pihak kerajaan, pengusaha pelancongan, agensi pemasaran dan rakyat Malaysia sendiri perlu komited dalam menyumbang kepada perkembangan sektor ini dengan menjalankan obligasi masing-masing. Sebagai warganegara, kita seharusnya membantu pelancongan domestik dengan mengunjungi pusat-pusat pelancongan pada hujung minggu atau hari cuti dengan lebih kerap sebelum melancong ke negara-negara asing. Keindahan alam semula jadi dan keunikan budaya serta tradisi masyarakat kita seharusnya menjadi elemen utama dalam mempromosikan pelancongan di Malaysia. Ibarat peribahasa Melayu, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri.
Related : pendapatan negara, tempat pelancongan, memainkan peranan, pelbagai pihak, luar negara, tahun melawat malaysia, memajukan industri pelancongan,
Senarai Tajuk Kecil Artikel