Sebagai pelajar, apakah pilihan anda dalam menjawab soalan penulisan karangan Bahasa Melayu? Adakah anda akan memilih soalan yang berformat atau tidak? Salah satu teknik untuk menjawab soalan penulisan karangan adalah dengan memilih soalan yang tidak berformat dan mempunyai soalan yang jelas supaya pelajar memahami kehendak soalan serta memberikan hujah yang tepat. Sebagai rujukan untuk pelajar, berikut dikongsikan contoh karangan kepentingan sektor pertanian di Malaysia.
Para pelajar perlu tahu bahawa sektor pertanian bukan sahaja meliputi penanaman kelapa sawit, getah, sayur-sayuran, buah-buahan dan tanaman padi. Ia juga meliputi ternakan poultri iaitu ternakan ayam, lembu dan akuakultur iaitu hidupan laut. Oleh itu, pelajar perlu boleh memberikan contoh atau fakta yang lebih tepat dan berkaitan untuk menyokong huraian dalam penulisan karangan Bahasa Melayu masing-masing.
Contoh Karangan Kepentingan Sektor Pertanian Di Malaysia (Kelebihan/ Kebaikan)
Pelajar boleh merujuk isi-isi penting dan contoh karangan kepentingan sektor pertanian di Malaysia seperti yang dikongsikan di bawah.
Isi-isi penting
- Menjamin bekalan makanan negara mencukupi
- Membangunkan kawasan pedalaman, luar bandar
- Membuka peluang pekerjaan
- Meningkatkan pendapatan negara
- Memelihara ekologi alam sekitar daripada pembangunan industri
- Membuka ruang kajian dan penyelidikan untuk pelajar seluruh dunia
Pendahuluan
Kekayaan khazanah alam semula jadi dan selamat daripada ancaman bencana alam yang teruk seperti gempa bumi merupakan satu anugerah kepada tanah air kita. Sebelum zaman modenisasi tiba, sektor pertanian menjadi antara penyumbang utama ekonomi negara. Tanaman sawit dan getah yang dikomersialkan telah berkembang dan menjadi bekalan eksport utama negara ke negara-negara asing. Beberapa tahun kemudian, dasar ekonomi negara berubah dan memfokuskan pembangunan berdasarkan perindustrian. Kesannya, sektor pertanian negara kekal ditakuk lama dan tidak berkembang seiring dengan kemajuan teknologi dan sains. Oleh yang demikian, wajar untuk kita bincangkan kepentingan sektor pertanian di Malaysia agar sektor ini mendapat perhatian yang sebaiknya dan memanfaatkan masyarakat secara amnya.
Isi 1
Sektor pertanian yang merangkumi perladangan dan penternakan adalah penting untuk menjamin bekalan makanan negara yang cukup untuk anggota masyarakat. Untuk pengetahuan semua, negara kita masih bergantung kepada bekalan makanan yang diimport dari negara luar sedangkan kita mempunyai kepakaran dan tenaga kerja untuk menghasilkan bekalan makanan tersebut secara domestik. Usaha ini penting bagi mengelakkan rantaian bekalan makanan untuk rakyat kita terputus apabila berlaku sesuatu seperti peperangan.
Kenaikan harga barang yang berlaku ketika ini juga dapat dibendung kerana kita mempunyai stok simpanan yang boleh melawan inflasi yang berlaku secara global. Pembuat polisi negara harus bertindak untuk meningkatkan penghasilan sumber makanan terutamanya makanan ruji rakyat Malaysia iaitu beras, daging ayam dan lembu. Tegasnya, sektor pertanian negara penting untuk menjamin bekalan makanan negara agar tidak menjadi seperti pepatah, kera dihutan disusukan, anak di rumah kelaparan.
Isi 2
Pada masa yang sama, sektor pertanian negara penting untuk membangunkan kawasan-kawasan pedalaman di Malaysia. Kawasan luar bandar sukar untuk dibangunkan kerana terdapat faktor geografi yang tidak sesuai seperti bukit-bukau dan gunung-ganang. Tetapi ia berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan perladangan dan penternakan. Idea ini telah pun dilaksanakan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-2, Tun Abdul Razak yang memperkenalkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau lebih dinekali sebagai FELDA.
Apabila kawasan pertanian dibangunkan, infrastruktur lain akan turut dimajukan seperti jalan raya dan rangkaian telekomunikasi. Secara tidak langsung, infrastruktur di kawasan pedalam menerima impak kemajuan yang merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar. Perbezaan bagai bumi dengan langit dapat dihapuskan sekiranya pengurusan pembangunan kawasan pertanian di luar bandar dilaksanakan dengan baik sekaligus mencerminkan kepentingan sektor pertanian dalam negara.
Isi 3
Sehubungan dengan kepentingan di atas, peluang pekerjaan akan terbuka dan mampu membantu masyarakat tempatan untuk meningkatkan tahap sara hidup diri dan keluarga. Masyarakat kita kadang kala terikat dengan stigma bahawa pertanian merupakan kerja kampung dan tidak professional berbanding bekerja di dalam pejabat yang mempunyai penyaman udara. Pihak kerajaan yang mempunyai pelbagai agendi dan jabatan di peringkat negeri seharusnya memainkan peranan masing-masing dalam mendidik dan membuka peluang kepada masyarakat tempatan untuk menceburi bidang pertanian.
Dengan bimbingan dan bantuan daripada pakar, kita mampu menghasilkan petani atau peladang yang berjaya menghasilkan bekalan untuk pasaran domestik tetapi juga untuk dieksport ke luar negara. Sebagai contoh, seorang graduan jurutera yang mengusahakan tanaman melon manis di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Peradong, Terengganu, berjaya memperoleh sehingga RM30,000 semusim. Intihannya, sektor pertanian berpotensi membuka peluang pekerjaan dan memberikan pulangan yang lumayan ibarat di mana ada gula, disitu pasti ada semut.
Isi 4
Akhir sekali, kepentingan sektor pertanian di Malaysia adalah untuk meningkatkan pendapatan dan ekonomi negara. Seiring dengan sektor lain seperti perindustrian dan pembangunan, sektor pertanian negara juga wajar diberikan perhatian dan insentif yang sepatutnya. Kesimbangan kemajuan dalam pelbagai industri dalam negara akan membuatkan kita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. Tamsilnya di negara Jepun dan Korea Selatan yang memastikan setiap industri seperti pertanian, teknologi, perindustrian dan pelancongan dibangunkan bersama-sama dan meningkatkan imej negara mereka ke tahap yang lebih tinggi.
Selepas usaha untuk memastikan bekalan makanan negara cukup untuk menampung keperluan domestik, sektor pertanian kita perlu mengorak langkah untuk mengeksport hasil keluar negara. Seiring dengan wawasan untuk menjadikan negara sebagai hab utama makanan halal dunia, kita seharusnya mampu mengeluarkan produk atau hasil pertanian yang halal dan mencapai piawai yang ditetapkan di seluruh dunia. Izharnya, sektor pertanian penting untuk menjana pendapatan negara disamping sektor-sektor lain yang menjadi pemangkin ekonomi negara.
Penutup
Tuntasnya, banyak kepentingan yang dimiliki dan berpotensi dalam sektor pertanian di Malaysia. Lain dahulu lain sekarang merupakan perumpamaan yang sesuai untuk memberikan gambaran kepada potensi sektor pertanian di Malaysia. Hal ini kerana kemudahan infrastruktur, kepakaran tenaga kerja, iklim dan tanih yang sesuai merupakan kelebihan yang kita punyai untuk menjayakan apa sahaja aktiviti pertanian di negara ini. Justeru, setiap pihak harus memainkan peranan dan obligasi untuk memastikan matlamat memajukan sektor pertanian negara dapat dicapai dan hasilnya dinikmati bersama. Semoga sektor ini tidak lagi dipandang enteng dan perubahan bermula daripada sekarang demi kemaslahatan generasi masa hadapan.
Related : mengurabgkan kebergantungan, masyarakat desa, bahan makanan, bahan mentah, menjadi penyumbang terbesar, keluaran dalam negara kasar, menambahkan keluaran dalam negara, pekerjaan ini tidak memerlukan, lada hitam, pengaliran wang, yang besar,
Senarai Tajuk Kecil Artikel