Kepentingan Semangat Kebangsaan Kepada Negara. Contoh karangan cara memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar dan rakyat.

Kepentingan Semangat Kebangsaan Kepada Negara

contoh karangan kepentingan semangat kebangsaan kepada negara

Para pelajar digalakkan untuk membaca contoh-contoh karangan bagi menambah idea dan perbendaharaan kata. Melalui pembacaan, pelajar juga akan terdedah kepada tema yang digunakan serta gaya penulisan yang menarik untuk digunakan. Sebagai rujukan, berikut dikongsikan contoh karangan Bahasa Melayu bertajuk, Kepentingan Semangat Kebangsaan Kepada Negara.

Semangat kebangsaan atau patriotisme adalah salah satu nilai murni yang dipelajari oleh pelajar dalam pendidikan sivik dan kewarganegaraan. Nilai ini penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu-padu demi kepentingan negara yang mereka diami. Setiap negara dan penduduknya menunjukkan semangat kebangsaan dengan cara yang berbea tetapi pucuk pangkalnya memfokuskan kepada satu matlamat yang sama.

Cara Memupuk Semangat Patriotisme Dalam Kalangan Rakyat Malaysia

Di bawah adalah contoh karangan kepentingan semangat kebangsaan kepada negara untuk rujukan semua. Turut dikongsikan adalah isi-isi penting yang berkaitan dengan tajuk dan boleh digunakan untuk karangan-karangan lain yang membawa tema atau soalan yang sama.

Isi-isi penting

  • Mengeratkan hubungan antara ahli masyarakat
  • Menjadi benteng keselamatan negara
  • Sebagai pendorong untuk memajukan negara
  • Memelihara sejarah, budaya dan warisan negara
  • Menjadi motivasi dalam mengharumkan nama negara
  • Sebagai penghargaan kepada jasa pemimpin negara terdahulu

Pendahuluan

Dalam meniti era globalisasi pada hari ini, masyarakat di negara kita terdedah dengan pelbagai kefahaman yang boleh menjadikan negara kita terus berjaya atau gagal dalam sekelip mata. Perubahan norma masyarakat dalam menerima maklumat secara pantas melalui media massa atau sosial telah menyebabkan anggota masyarakat bertambah cakna atau mudah terpedaya dengan propaganda sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

Demi memastikan kedaulatan negara kita kekal utuh, masyarakat kita perlu sentiasa menimba ilmu dan belajar untuk memanfaatkan segala kemudahan pada hari ini untuk kebaikan sejagat dan bukan kepentingan diri sendiri sahaja. Polemik perkauman dan perbezaan fahaman di arena politik sedikit sebanyak akan mengganggu ketenteraman yang dinikmati selama ini oleh masyarakat kita. Oleh itu, mari kita huraikan kepentingan-kepentingan semangat kebangsaan kepada negara untuk pengetahuan semua.

Isi 1

Semangat kebangsaan boleh didefinisikan sebagai satu semangat kekitaan atau patriotisme yang dikongsi bersama oleh sekumpulan komuniti atau penduduk. Seiringan dengan maksud tersebut, semangat kebangsaan penting untuk mengeratkan hubungan antara ahli masyarakat atau penduduk setempat. Jika kita melihat kembali sejarah, negara kita mengecapi kemerdekaan daripada penjajah hasil daripada semangat kebangsaan setiap penduduk di negara ini.

Tanpa mengira latar belakang dan warna kulit, tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun VT Sambanthan membuktikan semangat kebangsaan dapat menghubungkan tali persaudaraan antara semua lapisan masyarakat. Secara tuntas, masyarakat hari ini perlu sedar dan merai semangat kebangsaan supaya hubungan antara satu sama lain kekal harmoni dan sejahtera. Persis kata mutiara, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Isi 2

Pada masa yang sama, semangat kebangsaan dalam kalangan masyarakat penting sebagai benteng keselamatan negara. Mutakhir ini, pergolakan kuasa-kuasa besar dunia yang melibatkan Amerika Syarikat, China dan Rusia telah memberikan cabaran kepada dunia. Sebagai negara yang mengamalkan dasar berkecuali dan terbuka kepada hubungan pelbagai hala, kita perlu memastikan keselamata negara kekal terjamin daripada ancaman kuasa asing.

Dengan semangat kebangsaan khususnya dalam diri anggota-anggota keselamatan negara, mereka akan memastikan sempadan negara dijaga dengan baik dan tidak dicerobohi. Pemimpin negara yang dipilih oleh ahli masyarakat perlu sentiasa bijak mengatur strategi perhubungan terbaik yang tidak menyebabkan keselamatan negara kita terjejas. Jelaslah bahawa semangat kebangsaan penting untuk menjamin keselamatan negara daripada ancaman yang boleh merugikan rakyat dan negara.

Isi 3

Salah satu kepentingan lain semangat kebangsaan adalah ia mampu menjadi pendorong untuk memajukan negara. Pada era sains dan teknologi ini, kita bebas untuk melihat kemajuan yang dikecapi oleh negara lain. Kita tidak boleh menjadi seperti katak yang berada di bawah tempurung. Sebaliknya, setiap di antara kita memainkan peranan masing-masing untuk membawa negara kita ke tahap kemajuan yang lebih baik daripada hari semalam.

Wawasan 2020 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 adalah contoh garis panduan yang diberikan oleh kerajaan. Sebagai masyarakat kita seharusnya menggunakan semangat kebangsaan untuk belajar bersungguh-sungguh dan melakukan yang terbaik dalam kerjaya masing-masing agar manfaat sejagat dapat dicapai. Izharnya, jika setiap diantara kita memiliki semangat kebangsaan, pastinya negara kita mampu mengecapi kejayaan dalam apa bidang sekalipun demi mengharumkan nama negara tercinta.

Isi 4

Akhir sekali, negara perlu memastikan semangat kebangsaan dipupuk dalam diri setiap ahli masyarakat supaya kita dapat memelihara sejarah, budaya dan warisan negara. Khazanah yang tidak boleh dibeli secara tunai ini sangat penting untuk dipelihara agar tidak hilang dek ditelan zaman. Hanya dengan semangat kebangsaan antara kita, timbul nilai penghargaan terhadap sejarah, budaya dan warisan yang kita miliki daripada nenek moyang kita terdahulu.

Misalnya, kawasan-kawasan bersejarah di Melaka atau Pulau Pinang yang diancam kemajuan pembangunan sekitarnya. Jika masyarakat kita mempunyai semangat kebangsaan, kita akan cuba sedaya-upaya untuk mengekalkan elemen-elemen sejarah yang terkandung dalam kawasan tersebut. Bak kata pepatah, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Intihannya, semangat kebangsaan penting untuk memastikan sejarah, budaya dan warisan bangsa kita terjamin dari zaman ke zaman.

Penutup

Kesimpulannya, terdapat banyak kepentingan lahir daripada semangat kebangsaan terhadap sesebuah negara. Sebagai warganegara yang menikmati kehidupan yang aman dan sentosa di tanah air ini, kita seharusnya memupuk semangat ini dalam diri sendiri dan orang sekeliling kita supaya nikmat tersebut kekal selamanya. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Peribahasa ini jelas menunjukkan permuafakatan akan memudahkan sesuatu tugas atau amanah sepertimana kita bertanggungjawab ke atas kemajuan, keharmonian dan kedaulatan negara yang kita cintai ini.

Related : perpaduan kaum, wujudnya semangat cinta, semangat cinta akan negara, mempunyai semangat patriotisme rakyat, semangat patriotisme rakyat, kepentingan semangat patriotisme, pembangunan negara, generasi muda, kalangan rakyat pasti negara, memupuk dan mengekalkan semangat, untuk memupuk dan mengekalkan, mata pelajaran sejarah, semangat cinta akan negara,