Mutakhir ini, kes buli dalam kalangan murid di sekolah sering berlaku. Masalah ini seharusnya dibanteras dengan mengenal pasti punca sebenar mengapa pembuli bertindak untuk membuli mangsa. Pada masa yang sama juga, ibu dan bapa boleh memastikan anak-anak menjauhi budaya yang sia-sia ini bermula dari rumah. Berikut dikongsikan sebagai rujukan kepada pelajar, contoh karangan Bahasa Melayu: Faedah Mempelajari Seni Mempertahankan Diri (Kebaikan)
Silat, tae kwan do, judo, karate dan wushu adalah antara seni mempertahankan diri yang popular di negara kita. Penglibatan remaja terutamanya murid-murid dalam seni bela diri ini merupakan sebahagian daripada langkah yang terbaik untuk membina kecergasan fizikal, disiplin diri dan kemahiran sosial. Selain itu, terdapat beberapa kelebihan lain apabila mempelajari seni mempertahankan diri oleh para remaja.
Contoh Karangan Faedah Mempelajari Seni Mempertahankan Diri (Kebaikan)
Ikuti perkongsian di bawah yang menghuraikan contoh karangan bertajuk Faedah Mempelajari Seni Mempertahankan Diri (Kebaikan).
Anda boleh merujuk isi-isi penting yang berkaitan dan mengolah penulisan karangan mengikut gaya penulisan masing-maisng.
Isi-isi penting
- Meningkatkan kemampuan diri dari segi fizikal dan mental
- Membentuk disiplin dan nilai murni dalam diri
- Meningkatkan kemahiran komunikasi dan sosial
- Memelihara seni warisan bangsa
- membina komuniti yang sihat dan selamat
- Meningkatkan keyakinan diri
Pendahuluan
Salah satu aktiviti kokurikulum yang boleh disertai murid-murid di sekolah adalah kelab seni pertahanan diri seperti kelab silat atau tae kwan do. Inisiatif ini merupakan salah satu usaha untuk mendidik pelajar di luar bilik darjah bersama-sama murid yang berbeza kelas dan umur. Murid-murid pasti berasa seronok untuk menyertai kelab pertahanan diri tetapi tidak menyedari kebaikan di sebalik seni pertahanan diri.
Mempelajari seni mempertahankan diri merupakan satu bidang yang semakin popular di kalangan masyarakat masa kini. Ia tidak hanya mengajar murid-murid teknik-teknik pertahanan diri, tetapi juga memberikan banyak faedah dalam kehidupan harian. Justerus, mari kita bincangkan tentang beberapa faedah mempelajari seni mempertahankan diri yang dapat membantu individu dalam menjaga keselamatan dan kebaikannya terhadap kesejahteraan diri.
Isi 1
Kebaikan yang diperoleh daripada seni mempertahankan diri adalah murid dapat meningkatkan kesihatan fizikal dan mental. Latihan fizikal dalam seni mempertahankan diri dapat meningkatkan kecergasan, kekuatan otot dan kelenturan badan. Aktiviti yang sama seperti bersukan atau bersenam ini lebih menarik kerana mempunyai gerak-geri tertentu yang perlu dipatuhi. Selain itu, seni mempertahankan diri juga membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan kesihatan mental.
Ketika murid-murid menyertai latihan seni mempertahankan diri, anda dapat menumpukan perhatian kepada gerakan dan teknik tertentu. Perkara ini dapat mengalihkan perhatian daripada tekanan dan kebimbangan harian. Sekaligus membantu menghilangkan ketegangan minda dan meningkatkan suasana hati yang lebih ceria dan sejahtera.
Isi 2
Selain itu, seni mempertahankan diri juga membantu dalam membentuk disiplin dan nilai-nilai murni dalam diri. Proses pembelajaran seni mempertahankan diri memerlukan latihan yang berterusan dan disiplin. Kita perlu mengulang gerakan dan teknik berulang kali untuk menguasainya dengan baik. Dalam proses ini, kita belajar disiplin dalam menjalankan latihan dan melatih ketekunan untuk mencapai matlamat kita. Disiplin dan ketekunan ini juga dapat diterapkan dalam aspek-aspek lain kehidupan, seperti dalam pembelajaran di sekolah atau dalam kerja.
Tambahan pula, seni mempertahankan diri membantu dalam pembentukan sikap hormat dan empati. Anda akan diajar untuk menggunakan kekuatan dan kemahiran dengan bijaksana serta tidak menyalahgunakan keahlian kita untuk tujuan yang salah. Ini membantu kita membentuk sikap hormat terhadap orang lain dan memahami kepentingan menggunakan kekuatan dengan bertanggungjawab Dengan mempelajari seni mempertahankan diri, kita terlatih untuk bekerja keras dan tidak mudah mengalah.
Isi 3
Di samping itu, mempelajari seni mempertahankan diri juga dapat membantu dalam meningkatkan kemahiran komunikasi dan sosial. Apabila kita menyertai kelompok seni mempertahankan diri, kita akan berinteraksi dengan orang-orang yang berkongsi minat yang sama. Situasi ini membantu membentuk persahabatan dan membina hubungan yang kukuh melalui komunikasi yang jelas dan baik. Ketika dalam latihan seni mempertahankan diri, kita akan berlatih bersama ahli-ahli lain dalam satu kumpulan yang sama.
Murid-murid akan belajar untuk saling menyokong, menghormati dan bekerja sama untuk mencapai matlamat bersama. Keyakinan diri yang tinggi ini juga akan timbul dan membantu kita dalam situasi seperti perbualan atau persembahan di depan orang ramai. Dengan keyakinan yang kukuh, kita lebih berdaya saing untuk menghadapi cabaran dan mengatasi ketakutan yang mungkin timbul dalam kehidupan seharian masing-masing.
Isi 4
Akhir sekali, warisan budaya bangsa dapat dipelihara sekiranya kita mempelajari seni pertahanan diri. Tahukah anda bahawa seni silat merupakan salah satu warisan budaya yang kita warisi daripada masyarakat terdahulu yang menetap di negara kita. Khazanah yang tidak dapat dibeli oleh wang ringgit ini wajar dipelihara dan diraikan sehingga diketahui oleh masyarakat dunia. Persis kata peribahasa, “tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas”.
Sebagai contoh, seni pertahanan diri teakwondo yang berasal daripada Korea telah lama dikenali di serata dunia kerana masyarakatnya yang meraikan dan mengamalkan seni warisan mereka. Sebagai masyarakat yang berminda kelas pertama, kita seharusnya mempelajari seni pertahanan diri supaya dapat mendalami sejarah dan asbab kepada setiap gerak-geri yang dipelajari sebagai satu budaya untuk diteruskan kepada generasi akan datang. Jelasnya, menyertai seni pertahanan diri adalah usaha untuk memelihara seni warisan budaya bangsa.
Penutup
Secara keseluruhan, mempelajari seni mempertahankan diri memberikan banyak faedah dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan. Semua individu adalah digalakkan untuk mempelajari seni mempertahankan diri terutamanya pelajar-pelajar sebagai sebahagian daripada usaha kita dalam menjaga dan meningkatkan kualiti hidup. Generasi hari ini bertanggungjawab dalam memastikan seni pertahanan diri terus kekal di muka bumi ini kerana manfaatnya kepada individu, masyarakat dan juga negara amatlah besar. Semoga setiap diantara kita berpeluang untuk mempelajari seni pertahanan diri yang diminati sehingga ke tahap yang tertinggi.
Related : mengharumkan nama, menyihatkan tubuh badan, otot otot, satu wadah, persoalannya apakah faedah faedah, baik untuk, menepati masa, secara tidak langsung, seni mempertahankan diri untuk,
Senarai Tajuk Kecil Artikel