Daftar SSM Online dan Renew Lesen. Susulan pandemik COVID-19, ramai yang menceburi bidang perniagaan secara online atau membuka kedai secara konvensional. Tahukah anda setiap perniagaan perlu didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia? Sekiranya tidak, perkongsian di bawah akan menerangkan maklumat berkaitan pendaftaran SSM secara online dan bagaimana untuk memperbaharui lesen perniagaan melalui sistem ezBiz.
Untuk makluman, terdapat dua bentuk perniagaan iaitu perniagaan tunggal yang dimiliki sepenuhnya oleh seorang pemilik dan perniagaan perkongsian yang dimiliki sekurang-kurangnya dua orang atau tidak melebihi dua puluh (20) rakan kongsi. Pendaftaran syarikat juga adalah penting untuk tujuan membuka akaun semasa di bank-bank bagi urusan jual beli serta penyata bank untuk membuat sebarang pinjaman seperti pinjaman perumahan atau kenderaan.
Pendaftaran Perniagaan Baharu dan Renew Lesen Secara Online Melalui ezBiz SSM
Semua jenis perniagaan serta bentuk perniagaan yang dinyatakan di atas perlu mendaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Hanya perniagaan yang beroperasi di Malaysia Barat (Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan) boleh didaftarkan di bawah APP 1956.
Panduan Am Pendaftaran Perniagaan
Sebelum mendaftar perniagaan, individu terbabit perlu memenuhi syarat-syarat seperti berikut:
- Merupakan warganegara Malaysia atau berstatus penduduk tetap
- Berumur 18 tahun dan ke atas
- Pemilik perniagaan dan rakan kongsi sahaja dibenarkan untuk membuat permohonan pendaftaran perniagaan.
- Dibawah peruntukan seksyen 5, Akta Pendaftaran Perniagaan (APP 1956) sesuatu perniagaan hendaklah didaftarkan tidak lewat dari 30 hari dari tarikh permulaan perniagaan tersebut perlu mengemukakan kepada Pendaftar/SSM pendaftaran perniagaan.
- Perniagaan yang didaftarkan mestilah memenuhi seksyen 2 (Taksiran perniagaan) APP 1956 dan tidak meliputi aktiviti berbentuk amal/kebajikan serta apa-apa kerja yang dinyatakan dalam JADUAL (seksyen 2)
- Perniagaan atau tempat utama perniagaan yang dijalankan mestilah beroperasi di semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Beberapa panduan cara mendaftar yang wajib dipatuhi oleh pemohon sebelum membuat pendaftaran adalah seperti berikut:
- Perniagaan mestilah telah berjalan dan didaftarkan tidak lewat dari 30 hari dari tarikh permulaan perniagaan
- Pendaftaran baru perniagaan boleh dilakukan bagi jangkamasa satu (1) tahun dan tidak melebihi lima (5) tahun pada setiap pendaftaran
- Jenis perniagaan yang didaftarkan hendaklah tidak menyalahi undang-undang, tidak bersesuaian dengan keselamatan persekutuan, ketenteraman awam atau prinsip moral
- Perakuan Pendaftaran Perniagaan boleh diperolehi dalam masa satu (1) jam dari waktu pembayaran dibuat
- Pemilik perniagaan bertanggungjawab bagi mendapatkan lesen, permit atau surat kebenaran sewajarnya daripada pihak berkuasa yang berkaitan untuk jenis/aktiviti perniagaan yang dijalankan walaupun pendaftaran perniagaan tersebut telah didaftarkan seperti majlis perbandaran dan sebagainya
Cara Daftar SSM Online & Kaunter
Suruhanjaya Syarikat Malaysia telah membangunkan sistem pendaftaran secara online yang dikenali sebagai Ezbiz. Sistem ini berfungsi sebagai platform:
- Mendaftar perniagaan secara online (Pembelian maklumat perniagaan)
- Pembaharuan pendaftaran perniagaan secara Online (Pembelian Maklumat Perniagaan)
- Pembayaran kompaun akibat lewat perbaharui pendaftaran perniagaan.
- Pendaftaran perubahan maklumat perniagaan
Ikuti langkah-langkah di bawah untuk mendaftar secara online:
- Sila layari Portal Rasmi
- Klik butang ‘Sign Up’ dan isikan nombor kad pengenalan serta nama penuh anda
- Selepas mendaftar, anda dikehendaki untuk hadir ke kaunter pejabat SSM berdekatan dengan membawa kad pengenalan anda serta notis pemberitahuan yang diterima daripada emel yang didaftarkan oleh pengguna
- Pemohon perlu membuat pengaktifan ID dengan mengesahkan cap jari (biometrik) untuk tujuan keselamatan maklumat.
- Setelah selesai prosedur di atas, anda boleh menggunakan Ezbiz bagi mendaftar perniagaan anda atau membuat pembaharuan perniagaan secara online.
- Untuk panduan lengkap pendaftaran secara online, sila rujuk Tatacara Ezbiz Pendaftaran Perniagaan Baru
Untuk mendaftar secara manual di kaunter, berikut adalah cara-caranya:
- Anda perlu melengkapkan Borang Pendaftaran Perniagaan Baru (Borang A) dengan mengisi maklumat seperti berikut:
- Nama perniagaan
- Tarikh mula perniagaan
- Alamat utama perniagaan
- Alamat cawangan perniagaan (jika ada)
- Maklumat pemilik & rakan kongsi
- Jenis perniagaan yang akan dijalankan
- Salinan Perjanjian Perkongsian (jika ada)
- Pendaftaran hendaklah menggunakan nama sendiri atau nama ‘tred’
- Jika pemohon menggunakan nama sendiri seperti di dalam MyKad, pemohon tidak perlu memohon kelulusan nama perniagaan. Contohnya, Razman bin Othman, Tan Ming Lek, Rajanith a/l Suresh.
- Nama ‘tred’ adalah nama perniagaan yang dicadangkan serta perlu mendapatkan kelulusan daripada Pendaftar Perniagaan dahulu. Contohnya, Restoran Citramas, Kedai Dobi Mulia, Pak Akob Catering dan sebagainya.
- Pemilik perniagaan dan rakan kongsi perlu menandatangani ruangan maklumat pemilik dan ruangan pengesahan oleh pemilik tunggal atau rakan kongsi
- Pemilik perniagaan serta semua rakan kongsi wajib hadir ketika membuat urusan pendaftaran
- Anda juga perlu membawa dokumen lampiran seperti searai di bawah:
- Surat Kebenaran ataupun Surat Sokongan untuk jenis perniagaan Taska (Jabatan Kebajikan Masyarakat), Tadika, Pusat Tuisyen, Sekolah/ Kolej Pendidikan (Kementerian/ Jabatan Pendidikan)
- Surat kebenaran atau sokongan daripada agensi berkaitan jika diperlukan oleh Pendaftar Perniagaan
Peringatan: Seseorang yang menjalankan perniagaan tanpa mendaftar perniagaan adalah membuat suatu kesalahan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (APP 1956).
Sekiranya disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali
Yuran Pendaftaran Perniagaan SSM
Suruhanjaya Syarikat Malaysia menetapkan bayaran bagi mendaftar perniagaan adalah seperti berikut:
- Perniagaan pemilik tunggal: RM30.00 setahun
- Perniagaan pemilik tunggal atau perkongsian menggunakan nama tred: RM 60.00 setahun
- Pendaftaran cawangan: RM5.00 setahun (setiap cawangan)
- Cetak Maklumat Perniagaan: RM10
Cara Renew Lesen Perniagaan
Bagi permohonan pembaharuan perniagaan, ia boleh dilakukan di kaunter Suruhanjaya Syarikat Malaysia SSM, Bank Simpanan Nasional (BSN), Ezbiz Kiosk atau secara online melalui Ezbiz.
Fi atau yuran adalah sama seperti fi pendaftaran. Di bawah adalah cara-cara untuk renew lesen perniagaan anda di bawah:
- Hadir ke kaunter atau layari Portal Rasmi
- Lengkapkan Borang Pembaharuan Pendaftaran Perniagaan (Borang A1)
- Pemilik atau salah seorang rakan kongsi perlu menandatangani Borang A1
- Orang Yang Bertanggungjawab (OYB) iaitu pemilik atau rakan kongsi perlu mengemukakan permohonan di kaunter atau secara online melalui perkhidmatan e-Lodgement di laman web rasmi
- Untuk pembaharuan secara online, sila rujuk : Tatacara Pengguna Ezbiz Perbaharui Perakuan Pendaftaran Perniagaan
Syarat Renew Lesen Perniagaan
Pembaharuan Perakuan Pendaftaran Perniagaan boleh dibuat bagi jangkamasa satu (1) tahun dan tidak melebihi lima (5) tahun.
Berikut merupakan syarat-syarat untuk memperbaharui lesen perniagaan anda:
- Pemilik atau Orang Yang Bertanggunjawab sahaja dibenarkan untuk membuat permohonan.
- Sijil Perakuan Pendaftaran boleh diperbaharui bila-bila masa sebelum tarikh luput pendaftaran sehingga dua belas (12) bulan selepas tarikh luput pendaftaran.
Peringatan: Seseorang yang meneruskan perjalanan sesuatu perniagaan selepas tamat tempoh pendaftaran adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta Pendaftaran perniagaan 1956 dan jika disabit kesalahan dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya.
Maklumat Lanjut
Sekiranya anda menghadapi sebarang masalah atau pertanyaan lanjut berkaitan cara daftar secara online dan renew lesen perniagaan (EzBiz), sila rujuk di pautan berikut:
- Laman Rasmi Suruhanjaya Syarikat Malaysia
- No. Telefon : 03-7721 400
- Emel : enquiry@ssm.com.my
Related : ezbiz online kaunter ssm
Senarai Tajuk Kecil Artikel