Berita baik kepada pelajar Tingkatan 4 yang ingin mengulang kaji mata pelajaran Bahasa Melayu? Tahukah anda apa maksud syair dan perbezaan nya dengan puisi yang lain? Adakah anda sudah membuat ulang kaji bagi topik KOMSAS? Oleh itu, berikut dikongsikan nota-nota berkenaan Syair Bidasari meliputi Maksud, Tema, Persoalan, Nilai, Gaya Bahasa, Bentuk dan Pengajaran.
Karya syair ini merupakan karya Jamilah Haji Ahmad, seorang mantan pegawai di Dewan Bahasa dan Pustaka. Selain itu, beliau juga ada menerbitkan sebuah karya bernama Hikayat Sempurna Jaya di bawah Dewan Bahasa & Pustaka. Keunikan karya syair akan menjadi ujian kepada para pelajar dalam memahami bahasa yang digunakan juga isi yang tersurat atau tersirat di dalam karya tersebut.
Nota Syair Bidasari : Maksud, Tema, Persoalan, Gaya Bahasa, Bentuk, Nilai & Pengajaran
Di bawah adalah nota-nota ringkas berkaitan Syair merangkumi Maksud, Tema, Persoalan, Nilai, Gaya Bahasa, Bentuk dan Pengajaran untuk rujukan semua. Pelajar juga boleh membaca soalan latihan beserta jawapan yang dikongsikan.
Maksud Syair
Rangkap 1
Dengarkan tuan suatu riwayat,
Raja di desa Negeri Kembayat,
Dikarang fakir dijadikan hikayat,
Supaya menjadi tamsil ibarat.
- Syair ini mengisahkan riwayat seorang raja di desa Negeri Kembayat yang menjadi contoh teladan kepada rakyatnya
Rangkap 2
Ada raja suatu negeri,
Sultan halifah akas bestari,
Asalnya baginda raja yang bahari,
Melimpah ngadil dagang senteri.
- Raja di desa Negeri Kembayat digambarkan sebagai seorang yang hebat da bijaksana. Baginda juga berwajah tampan dan bersikap adil terhadap orang asing atau pedagang
Rangkap 3
Hairan orang empunya temasya,
Baginda itulah raja perkasa,
Sangat tiada merasai susah,
Entah pada esok dan lusa.
- Sebagai seorang raja yang hebat, baginda tidak pernah merasai kesusahan. Namun hal tidak dapat dijangka pada masa akan datang
Rangkap 4
Seri sultan raja bestari,
Setelah ia sudah beristeri,
Beberapa bulan beberapa hari,
Hamillah puteri permaisuri.
- Kemudiannya raja beristeri dan tidak beberapa lama kemudian permaisuri baginda berbadan dua
Rangkap 5
Beberapa lamanya dalam kerajaan,
Baginda duduk bersuka-sukaan,
Datanglah beroleh kedukaan,
Baginda meninggalkan takhta kerajaan.
- Setelah beberapa lama memerintah negara dalam keadaan aman damai, suatu bala menimpa dan baginda terpaksa meninggalkan kerajaannya
Rangkap 6
Datanglah kepada suatu masa,
Melayanglah unggas dari angkasa,
Unggas gurda sangat perkasa,
Menjadi negeri rosak binasa.
- Negeri baginda telah diserang oleh burung Garuda hingga menyebabkan kemusnahan yang teruk
Rangkap 7
Datanglah menyambar suaranya bahana,
Gemparlah sekalian mulia dan hina,
Seisi negeri gundah-gulana,
Membawa diri ke mana-mana.
- Keadaan di negara tersebut menjadi huru-hara dan seua rakyat lari bertempiaran menyelamatkan diri
Rangkap 8
Baginda pun sedang dihadap orang,
Mendengar gempar seperti perang,
Bertitah baginda raja yang garang,
“Gempar ini apakah kurang”
- Rakyat jelata telah datang menghadap raja untuk mengkhabarkan suasana huru-hara dalam negara. Raja dengan perasaan marah menyatakan rasa terkejutnya.
Tema
Syair ini bertemakan cabaran yang dihadapi oleh seorang raja ketika memerintah negaranya. Raja Negeri Kembayat menghadapi serangan Gurda sehingga negerinya musnah sama sekali dan terpaksa turun daripada takhta.
Persoalan
1) Tanggungjawab seorang pemerintah
- Raja Negeri Kembayat menghadapi serangan Gurda sehingga negeri Baginda musnah sama sekali dan Baginda terpaksa turun takhta
2) Kerjasama dalam menghadapi situasi yang genting
- Raja negeri Kembayat berbincang dengan pembesar mengenai cara untuk menangani serangan Gurda
3) Musibah yang tidak dijangka
- Raja Negeri Kembayat tidak menjangka akan menghadapi serangan Gurda kerana sepanjang pemerintahannya tidak berhadapan dengan sebarang musibah
4) Kasih sayang dalam hubungan suami isteri
- Baginda amat menyayangi permaisurinya yang telah hamil beberapa bulan berkahwin
5) Keadilan dalam pemerintahan
- Raja Negeri Kembayat menjalankan pemerintahan secara adil dan saksama apabila melayani pedagang dan ulama yang datang ke negeri baginda dengan baik
6) Ketaatan terhadap pemimpin
- Rakyat Negeri Kembayat yang taat sentiasa bersama-sama dengan baginda ketika susah dan senang.
Bentuk Syair
- Syair ini berbentuk terikat dan tidak bebas
- Terdiri daripada lapan rangkap
- Bilangan baris dalam setiap rangkap adalah sama, empat baris serangkap
- Semua baris membawa maksud
- Terdapat tiga hingga lima patah kata setiap baris
- Manakala setiap suku kata dalam setiap baris terdiri daripada 9 hingga 13 suku kata
- Rima akhirnya ialah aaaa
Gaya Bahasa
- Asonansi : Baginda duduk bersuka-sukaan
- Aliterasi : Seri sultan raja bestari
- Bahasa klasik : akas, ngadil, gurda
- Bahasa istana : baginda, permaisuri, takhta
- Metafora : takhta kerajaan
- Inversi : tuan dengarkan suatu riwayat
- Simile : mendengar gempar seperti perang
- Repetisi : Beberapa bulan beberapa hari
- Hiperbola : Datanglah menyambar suaranya bahana
Nilai
- Bijaksana : Raja Negeri Kembayat yang pertama bijak dan cekap dalam memimpin rakyat
- Tanggungjawab : Raja Negeri Kembayat bertanggungjawab mentadbir negerinya dengan aman damai
- Ketaatan : Seluruh rakyat Negeri kembayat taat dan setia kepada Raja Negeri Kembayat
- Kasih sayang : Raja Negeri Kembayat telah menyayangi isterinya dengan penuh kasih sayang selepas isterinya mengandung
- Keadilan : Raja Negeri Kembayat telah melayani pedagang dan ulama yang datang ke negeri baginda dengan baik
Pengajaran
- Kita wajib untuk menjalankan tanggungjawab yang diberikan oleh seseorang atau rakyat dengan penuh amanah
- Kita seharusnya patuh kepada perintah ketua atau pemimpin demi keharmonian dan keselamatan negara dan masyarakat
- Kita hendaklah bersikap adil dan saksama apabila melakukan sesuatu tanpa mengira darjat atau kedudukan
- Kita mestilah bersiap sedia dalam mendepani sebarang malapetaka atau kecemasan yang kita tidak duga
- Kita seharusnya menyayangi ahli keluarga terutamanya isteri atau pasangan dengan penuh kasih dan sayang
- Kita perlu bijaksana dalam menyusun strategi atau perancangan supaya tugas dapat dilaksanakan dengan jayanya
Soalan Latihan
1) Jelaskan satu persoalan yang terdapat dalam Syair Ini.
Antara persoalan yang terdapat dalam syair ini adalah persoalan ketaatan rakyat kepada pemerintahnya. Sebagai contoh, rakyat Negeri Kembayat taat kepada sultan mereka walaupun negara mereka huru-hara diserang garuda.
2) Berikan maksud unggas gurda sangat perkasa dalam rangkap ke-6 syair ini
Maksud rangkai kata unggas gurda sangat perkasa adalah burung raksasa yang terlalu kuat atau berkuasa.
3) Sebagai seorang rakyat yang prihatin, nyatakan sumbangan-sumbangan anda kepada mangsa yang ditimpa bencana.
Sebagai seorang rakyat yang prihatin, saya akan memberikan sumbangan kewangan kepada mangsa-mangsa yang ditimpa bencana untuk membeli barang keperluan. Selain itu, saya juga akan menyumbangkan barangan terpakai seperti pakaian kepada mangsa-mangsa yang terlibat. Akhir sekali, saya juga akan membantu mangsa yang ditimpa bencana untuk berhubung dengan perkhidmatan kaunseling sekiranya mereka memerlukan bantuan moral.
4) Kemukakan sifat-sifat raja Negeri Kembayat berdasarkan rangkap kedua
Antara sifat yang ditunjukkan oleh raja Negeri Kembayat adalah kebijaksanaan dalam menguruskan rakyat di negerinya dengan baik. Selain itu, raja tersebut merupakan seorang yang adil apabila melayani pedagang dan ulama dengan baik.
5) Jelaskan kaedah untuk menggambarkan ketaatan anda kepada pemerintah negara anda
Sebagai seorang rakyat biasa, saya boleh menggambarkan ketaatan kepada pemerintah dengan mengekalkan kedaulatan negara jika terdapat sebarang ancaman. Selain itu, saya akan memelihara dan meraikan warisan serta budaya negara kerana khazanah tersebut merupakan identiti negara yang tidak boleh dipadam. Akhir sekali, saya akan menjaga nama baik negara apabila menjadi wakil di peringkat antarabangsa.
6) Pada pendapat anda, apakah cara-cara untuk memepertahankan negara kita daripada diancam musuh?
Pada pendapat saya, langkah yang boleh dilakukan untuk mempertahankan negara daripada ancaman musuh adalah dengan memastikan pasukan ketenteraan kita siap siaga pada setiap ketika. Selain itu, pihak atasan dan masyarakat umum perlu bijak dalam melindungi rahsia negara serta mengadakan hubungan diplomasi yang baik dengan negara asing.
Diharapkan perkongsian nota-nota Syair Bidasari : Maksud, Tema, Persoalan, Gaya Bahasa, Bentuk, Nilai & Pengajaran ini membantu semua.
Related : bertitah baginda pun sedang dihadap orang, contoh dan perbandingan kepada pembaca, asalnya baginda pun sedang dihadap orang,
Senarai Tajuk Kecil Artikel