Faktor-Faktor Kejayaan Seseorang Usahawan Dalam Perniagaan. Contoh karangan punca yang mempengaruhi gagal atau berjaya seorang peniaga.

Faktor-Faktor Kejayaan Seseorang Usahawan Dalam Perniagaan

contoh karangan faktor faktor kejayaan seorang usahawan

Selain study subjek secara teori, anda juga digalakkan untuk menyertai pembelajaran di luar bilik darjah dengan menyertai koperasi sekolah. Selain dapat menimbulkan minat terhadap perusahaan, student juga dapat mengetahui pelbagai kemahiran lain seperti kemahiran berkomunikasi dan perniagaan. Di bawah dikongsikan contoh karangan faktor-faktor kejayaan seseorang usahawan sebagai rujukan kepada semua.

Usahawan dari segi definisi bermaksud sesiapa yang terlibat dalam perniagaan sama ada menjual atau membeli produk atau perkhidmatan dan memiliki perniagaan atau syarikat tersebut. Usahawan juga boleh dikategorikan kepada usahawan mikro, kecil, dan sederhana sebelum mencapai tahap perusahaan tinggi yang menghasilkan keuntungan lebih daripada RM50 juta setahun serta mempunyai pekerja lebih daripada 200 orang.

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Kejayaan Seseorang Usahawan

Berikut dikongsikan contoh karangan faktor yang mempengaruhi kejayaan seseorang usahawan dalam perniagaan beserta isi-isi penting untuk rujukan.

Isi-isi penting

  1. Memiliki modal yang mencukupi
  2. Penguasaan ilmu pengetahuan
  3. Mempunyai disiplin dan semangat yang kuat
  4. Bijak membentuk jaringan perniagaan
  5. Memiliki kemahiran komunikasi yang tinggi
  6. Mempunyai minat dalam apa yang diceburi

Pendahuluan

Pasca kemerdekaan yang dikecapi oleh tanah air kita, pelbagai kemajuan dan kejayaan tercipta hasil daripada usaha anak-anak watan. Dasar keterbukaan yang diperkenalkan oleh pemimpin terdahulu telah membantu pembinaan negara kita dan merancakkan perkembangan ekonomi yang pelbagai. Hasil daripada polisi tersebut, lahir ramai usahawan-usahawan tempatan yang berhempas pulas membina empayar perniagaan dan syarikat sehingga bergelar konglomerat.

Individu seperti Syed Mokhtar Albukhary merupakan antara tokoh terkemuka yang menjadi tokoh usahawan tempatan yang berjaya membina perniagaan sehingga dikenali ramai. Namun begitu, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih, tidak datang melayang. Pelbagai cabaran dan rintangan yang harus dihadapi oleh semua usahawan sebelum mencapai kejayaan. Oleh yang demikian, wajar untuk kita bincangkan faktor-faktor kejayaan seseorang usahawan demi manfaat kita bersama.

Isi 1

Faktor pertama dan paling utama yang memastikan kejayaan seorang usahawan adalah memiliki modal yang mencukupi untuk menjalankan perusahaan. Sebelum menceburi bidang perusahaan tidak kiralah secara mikro ataupun sebaliknya, usahawan memerlukan modal kewangan yang cukup sekurang-kurangnya untuk menampung operasi perusahaan sehingga keuntungan dapat dihasilkan. Hal ini kerana setiap perusahaan perlu menanggung kerugian dahulu sebelum menikmati keuntungan.

Usahawan boleh menggunakan modal daripada simpanan sendiri atau membuat pinjaman kewangan daripada bank dan agensi kerajaan. Dengan pengurusan kewangan yang bijak, usahawan mampu untuk mendapat keuntungan dan mengelakkan kerugian. Risiko yang ditanggung ini merupakan permainan yang perlu dihadapi oleh seorang usahawan dalam menjayakan sasaran masing-masing. Intihannya, modal kewangan yang mencukupi merupakan faktor kejayaan seseorang usahawan.

Isi 2

Pada masa yang sama, seorang usahawan yang berjaya pastinya mempunyai penguasaan ilmu pengetahuan yang tinggi. Nilai kebijaksanaan merupakan antara elemen penting dalam menjadikan seseorang individu untuk berjaya. Sebagai contoh, Datuk Wira Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan Mydin Holdings yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kimia dan Sarjana Perniagaan Antarabangsa daripada universiti di Amerika Syarikat.

Hasil daripada pendidikan dan pengalaman bekerja, beliau berjaya meluaskan legasi perniagaan bapanya iaitu Pasaraya Mydin sebagai antara pasaraya terkemuka di Malaysia. Berbekalkan pengetahuan yang dimiliki, usahawan dapat melakukan tindakan yang tepat dalam menghadapi apa-apa situasi apabila menjalankan perusahaan masing-masing. Setiap keputusan untuk mengambil risiko memerlukan pertimbangan yang rasional dan bijak agar hasilnya memberikan keuntungan dan bukan kerugian. Jelaslah bahawa salah satu faktor kejayaan seornag usahawan adalah mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan bijaksana dalam menggunakannya.

Isi 3

Selain itu, disiplin dan semangat yang kuat juga antara pendorong utama kejayaan seorang usahawan. Pepatah melayu ada berkata, jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Perumpamaan ini jelas menunjukkan jika kita tidak berani untuk mengambil sesuatu risiko, lebih baik untuk kita tidak melakukannya. Begitu juga dengan menjalankan sesebuah perusahaan, individu tersebut perlu berani dan bersemangat tinggi untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

Misalnya, pengasas jenama Apple, Steve Jobs yang berkali-kali gagal untuk bersaing dengan syarikat terkemuka Microsoft dalam menghasilkan komputer. Hasil daripada disiplinnya yang tidak mengenal erti putus asa, beliau akhirnya berjaya mencipta sebuah inovasi dengan telefon pintar iPhone yang menjadi satu fenomena global sehingga meletakkan syarikatnya lebih berjaya berbanding pesaingnya. Justeru, usahawan yang memiliki disiplin untuk kekal berusaha dan sentiasa memperbaiki perusahaan yang dijalankan pasti akan menemui jalan kejayaan.

Isi 4

Akhir sekali, faktor yang menyumbang kepada kejayaan seorang usahawan adalah bijak membentuk jaringan perniagaan. Pertumbuhan teknologi yang berkembang seperti cendawan tumbuh selepas hujan wajar dimanfaatkan oleh usahawan untuk meluaskan jaringan perniagaan. Sebelum ini, urusan jual beli perlu dilakukan secara bersemuka tetapi kini norma tersebut telah berubah dan produk yang dicipta boleh dijual ke serata dunia. Kehadiran platform perniagaan atas talian seperti Shopee dan Lazada telah mengubah corak perusahaan terutamanya mereka yang menjalankan perniagaan produk.

Usahawan perlu bijak menggunakan platform ini untuk meningkatkan keuntungan dan berjaya. Kaedah promosi melalui video kreatif dan perkongsian tular di media sosial merupakan kaedah masa kini yang menjadi tarikan pelanggan. Untuk kekal relevan, pengusaha perlu berfikir selangkah kehadapan dan menjangkakan trend pada masa akan datang. Jika satu produk berjaya, maka produk lain yang mampu menarik pelanggan yang sama dan baharu perlu dicipta untuk meningkatkan jenama dan keupayaan sebagai seorang usahawan yang berjaya. Izharnya, bijak merencana jenama dan mengurus jaringan perusahaan adalah faktor utama yang menentukan kejayaan seorang usahawan.

Penutup

Kesimpulannya, banyak faktor yang memainkan peranan dalam kejayaan seorang usahawan. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan. Hanya mereka yang berusaha tanpa mengenal erti putus asa mampu mengecapi kejayaan yang luar biasa. Perjalanan menjadi seorang usahawan tidak mudah seperti yang kita lihat di media sosial. Ia memerlukan banyak pengorbanan, kegagalan dan penat lelah yang mampu menjatuhkan motivasi mereka yang terlibat.

Maka, individu yang berhasrat untuk menjadi seorang usahawan perlu memastikan mempunyai kumpulan sokongan seperti keluarga dan rakan yang menyokong aspirasi yang ingin dikecapi. Apabila mencapai kejayaan, elakkanlah menjadi seperti kacang yang lupakan kulitnya. Sentiasa ingat kepada asal usul dan berusaha untuk berbakti kepada orang sekeliling yang selama ini membantu dalam menjayakan perusahaan masing-masing sehingga berjaya.

Related : bidang perniagaan, untuk menjadi usahawan yang berjaya,