Sebagai penduduk Malaysia, pasti anda pernah melihat harta benda awam menjadi mangsa vandalisme. Daripada tandas awam, telefon awam dan taman permainan lazimnya menjadi kawasan gejala negatif ini berlaku. Kita sewajarnya bertindak bagi memastikan perkara ini tidak berleluasa dan menjejaskan harta benda awam dan perilaku masyarakat kita. Di bawah dikongsikan contoh karangan langkah mengatasi vandalisme dalam kalangan masyarakat.
Vandalisme membawa maksud perbuatan membinasakan atau merosakkan harta benda awam atau milik persendirian. Justeru, sebarang perbuatan menconteng, menampal atau merosakkan fungsi sesuatu harta benda awam tanpa keizinan adalah dianggap salah laku dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Kenyataan yang diketahui umum ini seringkali dipandang enteng dan apakah langkah untuk kita membuka mata masyarakat tentang cara untuk mengatasi masalah ini?
Contoh Karangan Langkah Mengatasi Masalah Vandalisme Dalam Kalangan Masyarakat
Sebagai rujukan pelajar untuk menulis karangan yang berkaitan, Contoh karangan usaha menangani gejala vandalisme dalam kalangan masyarakat/ remaja serta isi-isi penting adalah seperti berikut :
Isi-isi penting
- Mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga harta benda awam
- Memberikan ruang kepada pelaku vandalisme untuk berkarya
- Peranan media massa mempengaruhi minda masyarakat umum
- Penguatkuasakan undang-undang yang tegas
- Memasang kamera tertutup untuk pemantauan
- Menjalankan kempen yang lebih berkesan
Pendahuluan
Pada era globalisasi ini, masyarakat kita mudah dipengaruhi oleh budaya dan perilaku masyarakat lain yang dilihat seronok untuk dilakukan. Perkembangan teknologi dan Internet telah menyumbang kepada perluasan pengaruh budaya-budaya yang tidak sihat seperti melakukan vandalisme. Secara peribadi, pengaruh masyarakat asing tidaklah semuanya buruk tetapi apabila masyarakat kita dilihat gemar untuk meniru budaya asing yang tidak baik, ia perlu dipersoalkan.
Kementerian Pendidikan Malaysia juga pernah menyatakan dalam satu kajian bahawa vandalisme merupakan salah satu daripada lapan gejala salah laku pelajar di sekolah. Situasi ini bukan sahaja merugikan masyarakat kerana kerosakan harta benda awam malah memburukkan imej masyarakat di mata dunia. Oleh itu, wajar untuk kita huraikan langkah-langkah atau cara menangani vandalisme dalam kalangan masyarakat.
Isi 1
Langkah pertama untuk membendung gejala negatif ini adalah dengan mendidik setiap lapisan masyarakat tentang kepentingan menjaga harta benda awam. Vandalisme lazimnya diperlakukan terhadap harta benda awam seperti di taman permainan dan rekreasi, sekolah serta tandas awam. Segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab akan menconteng mana-mana permukaan dengan menulis parkataan-perkataan yang biadab serta tidak sesuai untuk diperlihatkan. Terdapat juga yang merosakkan harta benda awam seperti gelongsor dan buaian dengan mencabut sebahagian daripada alat tersebut sehingga tidak boleh berfungsi.
Justeru, ibu, bapa dan setiap ahli masyarakat bertanggungjawab untuk mendidik generasi muda khususnya untuk menghargai setiap harta benda awam yang disediakan seperti kita menghargai harta benda kita sendiri. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jelas bahawa dengan pendidikan menghargai harta benda awam, vandalisme dapat dibendung.
Isi 2
Selepas mendidik masyarakat untuk menghargai harta benda awam, perbuatan vandalisme boleh diatasi dengan memberikan ruang kepada mereka untuk mengekspresi diri atau berkarya. Generasi muda pada hari ini mudah terdedah kepada pengaruh asing tetapi ia bukan satu petunjuk untuk melarang mereka daripada melakukan perkara yang mereka inginkan. Sebaliknya, jika diberi ruang dan sokongan yang betul, mereka mampu untuk mejadikan satu minat kepada hobi dan kemudian menjadi punca rezeki mereka.
Pihak berkuasa boleh menyediakan infrastruktur seperti pusat komuniti yang membolehkan golongan muda khususnya untuk bersukan atau melakukan aktiviti seperti melukis dan mewarna di bawah seliaan mereka yang berpengalaman. Secara langsung ia dapat membantu menggilap bakat dan potensi yang dimiliki oleh setiap ahli masyarakat dan seterusnya menyumbang kepada perkembangan kemampuan dan ekonomi masyarakat tempatan. Intihannya, jika terdapat ruang dan sokongan yang tepat, vandalisme dapat diatasi dengan mengubahnya menjadi satu ekspresi kreatif yang bermanfaat.
Isi 3
Seterusnya, cara untuk menangani masalah vandalisme adalah dengan bantuan media massa dalam mempengaruhi minda masyarakat. Sepertimana idea vandalisme itu disebarkan, begitu juga seharusnya idea untuk membendungnya diuar-uarkan. Pihak berkuasa boleh melakukan selingan atau iklan sebagai khidmat pesanan masyarakat supaya menjauhi vandalisme dan menghargai harta benda awam. Selain itu, elemen pencegahan vandalisme boleh diselitkan dalam drama atau filem tontonan umum.
Pasti ada adengan yang boleh disesuaikan dengan situasi di mana menghargai harta benda awam adalah mustahak dan menggunakan sumber kreatif yang ada pada tempat yang lebih sesuai. Pihak media juga boleh mendekati pelaku vandalisme seperti yang melakukan mural di tempat awam untuk menjadi pekerja atau berkolaberasi kerana mereka mempunyai bakat dan potensi dalam industri kreatif. Tidak mustahil untuk kita mengubah sesuatu perkara yang negatif kepada perkara yang positif kerana belakang parang pun kalau diasah nescaya tajam.
Isi 4
Selaras dengan langkah-langkah diatas, aktiviti vandalisme dapat diatasi dengan penguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas. Kita boleh perhati sebenarnya tiada pegawai atau penguatkuasa yang memantau kawasan-kawasan yang berpotensi untuk dirosakkan. Apabila mendapat aduan daripada masyarakat barulah terdapat tindakan yang dilaksanakn untuk memperbetulkan harta benda wam yang telah menjadi mangsa vandalisme. Sikap seperti melepaskan batuk di tangga ini hendaklah dielakkan sekiranya kita ingin membentuk masyarakat berminda kelas pertama. Jika pesalah vandalisme ditangkap, mereka seharusnya dihukum dengan hukuman yang setimpal.
Secara peribadi, mereka wajar didenda memperbetulkan semula vandalisme yang dilakukan dengan kos yang ditanggung oleh pesalah sendiri dan menyelenggara kawasan tersebut pada tempoh tertentu. Hukuman ini bukan sahaja memastikan tiada vandalisme berlaku semula tetapi juga memberikan pengajaran kepada ahli masyarakat lain untuk tidak membuang masa melakukan vandalisme.
Penutup
Sudah terang lagi bersuluh, pelbagai langkah boleh direncana bagi membendung aktiviti vandalisme dalam kalangan masyarakat. Setiap pihak di rumah, sekolah, tempat awam dan pemimpin negara hendaklah menjalan obligasi masing-masing untuk menyelesaikan polemik ini. Bayangkan jika semua harta benda awam dihargai dan diselenggara dengan baik tanpa sebarang kerosakan, kita sebagai masyarakat umum yang akan menikmati kemudahan tersebut dengan baik tanpa merisaukan kadar cukai yang perlu dibayar setiap tahun. Pendidikan serta penerapan ilmu dan pengetahuan adalah mustahak dalam melahirkan generasi yang mampu melakukan anjakan paradigma kepada budaya serta tradisi masyarakat di Malaysia. JIka isu seperti vandalisme dapat diselesaikan, pastinya perkara-perkara lain yang akan mencabar kemampuan masyarakat kita untuk terus maju dapat dikawal dan diatasi.
Related : kementerian pelajaran, anak anak, guru guru, pihak kerajaan, masalah vandalisme dalam kalangan, murid murid, ibu bapa perlu, imej negara, menangani masalah vandalisme,
Senarai Tajuk Kecil Artikel