Ciri-Ciri Warganegara Yang Baik Demi Kesejahteraan Negara. Contoh karangan rangsangan kriteria penduduk Malaysia yang mulia Bertanggungjawab.

Ciri-Ciri Warganegara Yang Baik Demi Kesejahteraan Negara

Ciri Ciri Warganegara Yang Baik Demi Kesejahteraan Negara

Penulisan karangan Bahasa Melayu boleh mempunyai variasi soalan daripada soalan bertemakan sejarah sehingga kepada tema kebersihan. Para pelajar perlu berusaha memperbanyakkan bacaan supaya pengetahuan am diperoleh dan bakal membantu dalam penulisan karangan masing-masing. Berikut dikongsikan contoh karangan ciri-ciri warganegara yang baik demi kesejahteraan negara untuk rujukan semua.

Sebagai seorang warganegara Malaysia, kita telah dididik untuk menghayati Rukun Negara demi menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini. Panduan ini penting untuk memberitahu masyarakat khususnya golongan muda apakah perkara yang betul untuk dilakukan dan apa perkara yang salah perlu dijauhi sebagai ciri utama seorang warganegara Malaysia.

Contoh Karangan Cara Menjadi Warganegara Yang Baik Demi Kesejahteraan Negara

Pelajar boleh merujuk contoh karangan beserta isi-isi penting yang berkaitan dengan tajuk ciri-ciri warganegara yang baik demi kesejahteraan negara seperti di bawah.

Isi-isi penting

  1. Mematuhi undang-undang negara
  2. Melibatkan diri dalam proses demokrasi dan memilih “leader” yang terbaik untuk negara
  3. Bersungguh-sungguh dalam mempelajari ilmu pengetahuan
  4. Berusaha untuk mendapatkan yang terbaik dalam kerjaya
  5. Menggunakan produk buatan tempatan
  6. Mendukung prinsip Rukun Negara

Pendahuluan

Mutakhir ini, generasi muda kurang memiliki semangat cinta akan negara atau bersifat nasionalis seperti masyarakat dahulu. Jurang yang tercipta hasil peredaran zaman dan dicampur dengan pengaruh-pengaruh asing yang menyebabkan mereka kurang patriotik. Rukun Negara yang diperkenalkan oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) pada 31 Ogos 1970 semakin kurang dihayati. Konsep yang menjadi garis panduan ke arah keharmonian dan perpaduan kaum ini cukup signifikan demi kesejahteraan di Malaysia

Nilai patriotisme penting dalam melahirkan masyarakat yang bersatu padu untuk mencapai wawasan serta visi kudsi negara. Persis peribahasa Melayu, seikat bagai sirih, serumpun bagai serai. Kerajaan akan melakukan pelbagai kaedah bagi membentuk warganegara yang mampu menyumbang kepada setiap dasar yang diperkenalkan demi kemajuan tanah air kita. Oleh yang demikian, penting untuk kita ketahui apakah ciri-ciri warganegara yang baik demi kesejahteraan negara.

Isi 1

Ciri ulung seorang warganegara yang baik adalah mematuhi undang-undang negara yang termaktub dalam rukun keempat Rukun Negara. Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengurus, mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, makmur dan sentosa. Sejak dari awal ketamadunan manusia, undang-undang telah diwujudkan demi menjamin kehidupan anggota masyarakat yang selamat daripada jenayah serta ancaman terhadap hak-hak asasi sebagai seorang manusia.

Sebagai contoh, Tamadun China telah berjaya membuktikan bahwa masyarakat yang mematuhi undang-undang mampu memberi kejayaan kepada dinasti-dinasti yang bertahan beribu tahun lamanya. Maka, setiap warganegara hendaklah mematuhi undang-undang seperti tidak melanggar peraturan jalan raya dan merampas hak orang lain. Bak kata pepatah, di mana bumi dipijak disitu langit dijunjung. Izharnya, kedaulatan undang-undang merupakan satu ciri yang perlu dimiliki setiap warganegara demi kesejahteraan Malaysia.

Isi 2

Di samping itu, warganegara perlu melibatkan diri dalam proses demokrasi dan memilih ketua yang terbaik untuk negara. Ciri ini adalah ciri yang paling mustahak kerana hala tuju dan khazanah yang dimiliki negara ini akan diuruskan oleh pemerintah negara. Jika pemerintah yang korupsi dipilih dan dilantik, negara kita akan menanggung rugi seperti apa yang telah berlaku dalam arena politik di Malaysia.Seekor kerbau membawa lumpur semuanya akan terpalit.

Perumpamaan ini jelas menunjukkan jika mana-mana warganegara terutamanya ketua yang gagal untuk membawa imej yang baik untuk negara maka keburukan akan terpalit pada nama negara. Sebagai seorang warganegara, kita perlu melibatkan diri dalam pilihan raya dengan memilih ahli dewan rakyat dan ahli dewan undangan negeri yang terbaik untuk segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Tegasnya, dengan memilih ketua yang berintegriti, bijaksana serta berketrampilan tinggi merupakan salah satu ciri-ciri warganegara yang baik.

Isi 3

Ciri lain seorang warganegara yang baik adalah bersungguh-sungguh dalam mempelajari ilmu pengetahuan demi kesejahteraan negara. Masyarakat yang berilmu pengetahuan mempunyai sikap suka membaca serta cintakan ilmu pengetahuan. Manusia yang memiliki sifat ini akan menggunakan ilmu tersebut untuk manfaat diri dan orang lain. Secara langsung anggota masyarakat kita akan sentiasa cakna dengan teknologi serta perkara baharu yang mengubah tamadun manusia ke arah lebih baik.

Situasi seperti katak di bawah tempurung dapat dielakkan kerana untuk maju ke hadapan kita perlu meraikan segala ilmu dan pengetahuan global dan asimilasikan yang terbaik untuk masyarakat setempat. Ini bermakna setiap individu mesti berusaha untuk menghayati prinsip pendidikan sepanjang hayat. Secara tuntas, menguasai ilmu dan pengetahuan merupakan ciri terbaik seorang warganegara.

Isi 4

Kesinambungan dengan ciri di atas, warganegara yang baik adalah warganegara yang berusaha untuk cemerlang dalam kerjaya masing-masing. Sektor pekerjaan di Malaysia dilihat sebagai sektor yang mempunyai pelbagai variasi di mana setiap rakyat berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan. Apabila kadar pekerjaan menaik dan kadar pengangguran menurun, ekonomi negara akan meningkat kerana kuasa beli pengguna akan meningkat.

Selain untuk memajuakn ekonomi diri, semua pihak perlu melihat pekerjaan mereka menyumbang kepada ekonomi negara dan setempat. Kerajinan setiap warganegara untuk bekerja boleh memacu ekonomi negara untuk setanding dengan negara maju yang lain. Bak kata pepatah, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Jelaslah bahawa warganegara yang rajin bekerja serta berusaha untuk cemerlang dalam kerjaya merupakan ciri warganegara yang terbaik.

Penutup

Kesimpulannya, terdapat banyak ciri yang boleh dipraktikkan oleh kita sebagai seorang warganegara dalam memastikan kesejahteraan negara terjamin. Impian untuk memajukan negara wajar dikongsi dan diingatkan kepada setiap warganegara kerana impian itu tidak mustahil jika kita melihat kejayaan negara lain seperti Korea Selatan dan Indonesia. Setiap di antara kita pastinya menginginkan kesejahteraan dan kesenanga hidup yang boleh dijamin untuk diri dan keluarga. Justeru, kita perlu berusaha untuk mengamalkan ciri-ciri yang dibincangkan di atas dengan konsisten agar obligasi seorang warganegara dipenuhi dan impian untuk hidup harmoni direalisasikan. Persis peribahasa Melayu, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.

Related : masa hadapan, rakyat malaysia, pembangunan negara, mempunyai tanggungjawab,